Print this page
Friday, 29 January 2021 17:13

Hak pendidikan hilang ketika Covid-19?

Written by Mohd Hafiz Abd Hamid
Rate this item
(0 votes)

24 Januari 2021 lepas merupakan Hari Pendidikan Sedunia (International Education Day).

Hari yang dijadikan hari khusus dengan tema pendidikan ini bermula pada tahun 2015 apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan Agenda Pembangunan Lestari 2030 atau 2030 Agenda for Sustainable Development yang merangkumi 17 sasaran. Menurut PBB, masyarakat dunia hanya akan mencapai kesemua 17 sasaran dengan pendidikan.

 

Berdasarkan data semasa daripada UNESCO, terdapat 258 juta anak-anak yang tidak mempunyai akses pendidikan dan hampir 617 juta anak-anak yang tidak dapat membaca dan mengira. Pandemik COVID-19 menjadikan data itu kelihatan agak lapuk dengan kemungkinan lebih ramai anak-anak kita akan tergolongan dalam salah satu atau kedua-dua golongan tadi.

 

Disebabkan itu, tema Hari Pendidikan Sedunia tahun ini adalah ‘Pulih dan Hidupkan Semula Pendidikan untuk Generasi COVID-19’ (Recover and Revitalize Education for the COVID-19 Generation). Tiga segmen khusus akan difokuskan iaitu guru dan anak-anak sebagai hero pendidikan, inovasi dan pembiayaan.

 

Di Malaysia, realiti pendidikan kita tidak seindah yang disangka. Walaupun kadar kemasukan ke sekolah rendah telah mencapai 99 peratus pada tahun 1980-an dan 85 peratus bagi sekolah menengah seawal tahun 2000, data-data terkini perihal sektor Pendidikan kita pra-COVID-19 agak membimbangkan.

 

Khazanah Research Institute (KRI) melalui laporan ‘The State of Households’ pada tahun 2018 mendedahkan bahawa purata pelajar hanya mendapat pendidikan yang bermanfaat untuk tempoh sembilan tahun berbanding 12 tahun tempoh persekolahan mereka.

 

Maknanya, satu perempat waktu yang diluangkan di sekolah seolah-olah tersisa berbanding Singapura yang mencapai kadar 100 peratus waktu di sekolah adalah bermanfaat untuk pelajar. Bayangkan waktu yang betul-betul bermanfaat bagi anak-anak kita apabila pembelajaran berlaku dalam talian.

 

Pendidikan di fasa Covid-19

 

Awal minggu lepas, anak-anak kita telah memulakan sesi pembelajaran mereka. Majoritinya masih di rumah melalui pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Saya sebagai seorang ayah juga tidak terkecuali merasai pengalaman sistem PdPR ini.

 

Saya membaca Laporan KRI 2020 bertajuk ‘Covid-19 and Unequal Learning’ dengan rasa sayu. Statistik-statistik laporan itu agak menakutkan, yang mana 37 peratus anak-anak kita tidak mempunyai laptop atau tablet yang sesuai bagi pembelajaran dalam talian berbanding hanya 6-9 peratus yang mempunyai laptop sendiri. Pemilikan telefon pintar pula adalah di tahap 46 peratus dalam kalangan pelajar.

 

Soal gajet adalah perkara pertama, kedua adalah isu akses Internet dan pembelian data. Kita semua tentu ingat kisah Veveonah yang mendapat liputan media. Saya percaya ada ribuan atau puluhan ribu lagi anak-anak seperti Veveonah di luar sana.

 

Pembelian data juga merupakan satu isu yang mana secara ekonominya ramai dalam keadaan tertekan dan data hanyalah percuma bagi 1GB yang tentunya tidak dapat bertahan sepanjang sesi persekolahan biasa.

 

Realiti ini dibangkitkan oleh KRI bagi mereka yang mempunyai gajet, ini belum dikira mereka yang terpaksa meminjam gajet antara adik-beradik, mereka yang tidak mempunyai gajet lebihan langsung dan mereka yang berada dalam pendidikan khas bagi anak-anak kita yang mempunyai kesukaran belajar dan sebagainya.

 

Realiti ini sangat membimbangkan. Tanpa gajet, kemudahan seperti akses Internet dan data, anak-anak kita berada dalam risiko tercicir daripada arus pendidikan dan seterusnya melebarkan jurang pendidikan antara pelbagai segmen masyarakat.

 

Pendidikan dan mobiliti sosial

 

Mobiliti sosial merujuk kepada satu proses perubahan atau pergerakan seseorang atau sesuatu kelompok daripada satu kedudukan kepada kedudukan yang lain. Faktor pendidikan kepada mobiliti sosial bukanlah sesuatu yang asing. Dalam sejarah Malaysia, ribuan malah ratusan ribu keluarga miskin berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dengan pendidikan anak-anak mereka.

 

Saya berpandangan, apa yang menimpa kita hari ini akan menjejaskan ramai bukan untuk tempoh jangka pendek tetapi jangka masa panjang seandainya isu pendidikan di kala Covid-19 ini tidak diselesaikan segera.

 

Saya juga mengikuti rapat #SuaraPelajar di Twitter yang penuh dengan luahan pelajar-pelajar khususnya anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan SPM. Kebimbangan saya pada nasib mereka selepas SPM, peluang mereka ke institusi pengajian tinggi dan minat mereka untuk menyambung pengajian di sana. Rata-rata mereka bimbang dengan keputusan SPM yang bakal mereka perolehi.

 

Saranan dan cadangan

 

Berdasarkan pemerhatian dan pembacaan saya, terdapat beberapa saranan yang ingin saya utarakan. Pertama, saranan supaya kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk proaktif mendapatkan solusi yang menjadi kebimbangan hampir separuh rakyat Malaysia baik anak-anak pelajar, calon SPM, bakal graduan, guru dan ibu bapa.

 

Panggil kesemua pemegang taruh ke meja perbincangan supaya polisi yang dikeluarkan tidak separuh masak, ditarik balik dan diubah.

 

Cadangan oleh awam seperti yang diutarakan oleh Profesor Jomo KS perihal penggunaan televisyen dan radio perlu diberi pertimbangan sewajarnya. Selain itu, pembiayaan dan bantuan khusus kepada para guru dan pelajar bagi melengkapkan diri mereka untuk melalui PdPR ini perlu difikirkan segera.

 

Kedua, strategi baru bagi pusat pengajian tinggi dan penggunaan sekolah kurang murid. Kerajaan boleh mengambil contoh usaha yang dilakukan oleh National University of Singapore (NUS) dalam memulakan sesi pengajian mereka.

 

Pelajar dan pensyarah mula kembali ke kampus dengan SOP dan langkah pencegahan yang ketat. Mereka menggabungkan pembelajaran secara hibrid iaitu secara fizikal di kampus dan dalam talian.

 

Selain itu, kerajaan juga perlu memanfaatkan sekolah kurang murid yang dianggarkan merangkumi 30 peratus daripada 10,000 sekolah di seluruh negara. Tidakkah boleh dimanfaatkan kemudahan ini yang mana penjarakan fizikal mudah dibuat?

 

Akhir sekali yang ketiga adalah pemerkasaan peranan ibu bapa. Di sini semua pihak kerajaan, majikan, pendidik, NGO dan ibu bapa perlu bersama memainkan peranan supaya peranan ibu bapa dalam menjadi ‘guru utama’ pelajar dapat dimainkan.

 

Ibu bapa perlu diperkasakan dari segi kewangan, waktu bekerja yang fleksibel dan pengetahuan asas dalam menjadi guru kepada anak-anak mereka.

 

Program IMPAK

 

Di pihak IKRAM Muda Malaysia, kami telah melaksanakan program ‘Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak’ atau IMPAK yang memfokuskan kepada ibu bapa di kawasan-kawasan perumahan kos rendah.

 

Program yang telah berlangsung hampir lima tahun ini merupakan program anjuran Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dengan kerjasama IKRAM, Tamil Foundation Malaysia dan Community Transformation Initiative (CTI).

 

Ia bertujuan membantu ibu bapa menguasai cara dan teknik yang sesuai untuk membantu anak-anak dari segi pembelajaran di rumah, menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak dan meningkatkan sahsiah anak-anak.

 

Pada waktu kritikal seperti ini, kami bersedia berkongsi pengalaman dan cubaan kami dalam usaha menyelamatkan generasi Covid-19 daripada ketidakseimbangan peluang pendidikan yang bakal wujud.

 

Semoga usaha kita semua dapat membantu menjamin masa depan anak-anak kita dan seterusnya menjamin kemakmuran masyarakat dan negara.

 

Mohd Hafiz Abd Hamid
Ketua IKRAM Muda
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 195 times Last modified on Friday, 29 January 2021 17:24
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd