Print this page
Wednesday, 03 February 2021 16:37

Penyelesaian yang adil, menyeluruh untuk Palestin

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)

Pada 20 Januari 2021, Joe Biden dengan rasminya telah menyandang jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke 46. AS di bawah pimpinan seorang presiden baru ini diharapkan dapat mengembalikan proses menyelesaikan konflik Israel dan Palestin ke meja rundingan atau jalan diplomatik.

Pada November tahun lalu, secara tegasnya pemimpin Palestin menyatakan harapan yang tinggi untuk melihat hubungan negaranya dengan Washington dapat dipulihkan semula selepas pelbagai ‘kerosakan’ yang telah dicetuskan oleh Donald Trump, mantan presiden AS.

 

Sebagaimana yang dilaporkan Arab News, bekas Datuk Bandar Bethlehem dan Ahli Dewan Kebangsaan Palestin, Vera Baboun berkata:

 

“Rakyat Palestin meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan AS yang baharu berhubung soal keamanan dan kami berharap Joe Biden akan memberikan reaksi positif untuk mengundang Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ke seminar antarabangsa bagi keamanan pada tahun 2021,” katanya.

 

Tidak terkecuali negara Islam lainnya termasuk Malaysia juga turut berharap perubahan positif bakal berlaku dalam suasana global di bawah pemerintahan Joe Biden itu. Terbaharu, Raja Jordan, Raja Abdullah II dalam wawancara dengan Pejabat Berita Jordan berkata:

 

"Wilayah dan dunia kita tidak dapat mencapai keamanan, kestabilan dan kedamaian yang kita cari tanpa mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk masalah Palestin."

 

Tegasnya lagi, penyelesaian ini mesti memenuhi semua hak sah rakyat Palestin dan beliau menganggap bahawa masalah Palestin, untuk Jordan, adalah masalah utama yang menekankan usaha berterusan negaranya untuk mengaktifkan proses perdamaian dan memastikan bahawa ia mencapai penyelesaian segera.

 

"Kami juga terus memikul tanggungjawab untuk melindungi dan menjaga tempat-tempat suci umat Islam dan Kristian di al-Quds al-Sharif berdasarkan sejarah dan atas kesucian ini.”

 

Dalam pada itu, beliau berusaha menumpukan semua kemampuan yang ada untuk melindungi tempat-tempat suci di Jerusalem dan melindungi identiti Arab, Islam dan Kristian.

 

Jabatan Wakaf Jerusalem yang bergabung dengan Kementerian Wakaf, Tempat Suci dan Hal Ehwal Islam Jordan mengawasi Masjid al-Aqsa dan pemberian wakaf kota Jerusalem yang diduduki menurut undang-undang antarabangsa, yang mana Jordan adalah pihak berkuasa tempatan terakhir yang mengawasi kesucian ini sebelum penjajahannya oleh Israel.

 

Pada sisi yang lain, Raja Abdullah menunjukkan bahawa negaranya telah menjalinkan hubungan serantau dan antarabangsa dengan landasan kejujuran, kejelasan dan ketelusan yang kukuh.

 

Beliau menjelaskan bahawa dasar kerajaannya bertujuan untuk membangun dan memperkuatkan hubungan keagamaan dan antarabangsa berdasarkan kerjasama serta prinsip hubungan baik.

 

Dilaporkan bahawa rundingan telah terhenti antara pihak Palestin dan Israel sejak April 2014. Israel telah menolak untuk membebaskan tahanan lama, menghentikan penjajahan dan menerima sempadan pra-1967 sebagai asas penyelesaian dua negara.

 

Negara Jordan sedang berusaha untuk meneruskan proses perdamaian dan sering mengecam dasar Israel yang menghalang rundingan serta mengancam penubuhan negara Palestin yang merdeka pada masa depan.

 

Projek penyelesaian dan ‘Judaization’ untuk kota Jerusalem yang dijajah adalah salah satu dasar Israel yang terkenal, yang mana kerajaan meminta masyarakat antarabangsa untuk menekan Tel Aviv agar menghentikannya.

 

Peluang perdamaian dan cabaran semasa

 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 Disember 2020 lalu telah mengadakan seminar maklumat mengenai konflik Israel-Palestin, peluang perdamaian dan cabaran semasa.

 

Acara yang diadakan setiap tahun itu bertujuan untuk mengumpulkan wartawan, pakar media, kumpulan pemikir, diplomat dan ahli akademik dari Palestin, Israel, Timur Tengah, Eropah, Amerika Syarikat dan bahagian lain di dunia untuk membincangkan isu-isu dan trend media yang berkaitan dengan konflik Israel - Palestin.

 

Pengarah Simposium dan Ketua Setiausaha Jenderal Jabatan Komunikasi Global PBB, Melissa Fleming membacakan pesanan daripada Setiausaha Jeneral, Antonio Guterres yang menyatakan:

 

“29 tahun yang lalu, acara tahunan ini dilahirkan untuk membantu meningkatkan keamanan dan persefahaman antara Israel dan Palestin. Sayangnya, kemungkinan mencapai perdamaian ini sekarang jauh lebih mencabar daripada sebelumnya."

 

Tambahnya, beliau memahami rasa putus asa yang mendalam dalam kalangan rakyat Palestin dengan menyatakan bahawa impian satu generasi demi generasi telah luntur oleh konflik lebih setengah abad berikutan penjajahan yang berlaku.

 

Setiausaha Agung PBB itu juga turut mengakui prihatin dan menzahirkan aspirasi rakyat Palestin untuk hidup dalam keamanan dan kedamaian.

 

Melissa Fleming dengan tegasnya berkata, beliau akan terus bersuara menentang sebarang usaha yang merosakkan perdamaian dan menjauhkan kedua-dua pihak dari rundingan yang membina, mendesak para pemimpin Israel dan Palestin untuk meneruskan dialog yang bermakna serta menyambut semua inisiatif antarabangsa yang dapat membantu merealisasikan perdamaian yang adil dan menyeluruh antara kedua-dua bangsa tersebut.

 

Solidariti, ketegasan dan media

 

Perbincangan panel itu diadakan beberapa hari selepas perayaan Hari Solidariti Antarabangsa dengan Rakyat Palestin, yang bertepatan dengan penerimaan Resolusi Majlis Umum 181 yang membahagikan Palestin menjadi dua negara.

 

Ketua Jawatankuasa Pelaksanaan Hak-hak yang Tidak dapat Dielakkan daripada Rakyat Palestin, Sheikh Nian mengatakan bahawa inilah waktunya yang mana rakyat Palestin tidak hanya perlu menyatakan solidariti, tetapi juga memerlukan tindakan penegasan.

 

"Setelah 73 tahun, hanya satu negara yang didirikan dan sebuah negara Palestin belum ditubuhkan," tegas Fleming.

 

Menurut sejarah, sejak tahun 1967 lagi berjuta-juta rakyat Palestin hidup dalam kepungan di tanah air mereka sendiri atau sebagai pelarian tidak dapat kembali ke kediaman mereka semula.

 

Selain itu, dalam beberapa tahun terakhir ini media telah mengarahkan konflik lain di wilayah tersebut dan memusatkan perhatian kepada beberapa aspek konflik iaitu mengenai perjuangan damai jutaan rakyat Palestin yang menginginkan kehidupan yang lebih baik.

 

Jelas di sini, satu-satunya cara untuk mencapai perdamaian di Timur Tengah adalah melalui penyelesaian damai konflik Palestin-Israel.

 

Media juga berperanan penting dan besar dalam meningkatkan kesedaran, memberi maklumat yang tepat lagi jelas kepada orang ramai serta berperanan mendokumentasikan sejarah tersebut.

 

Pandemik beri kesan mendalam

 

Pandemik COVID-19 menimbulkan cabaran di wilayah Palestin yang dijajah. Penjajahan tersebut telah mengakibatnya berlakunya sekatan terutama ketika mengenakan tindakan penutupan di kawasan-kawasan di bawah kawalan Palestin dan Israel.

 

Tahap kemiskinan telah meningkat dan dengan pembongkaran rumah terutamanya di Jerusalem yang diduduki, penderitaan rakyat Palestin di daerah-daerah itu semakin memburuk.

 

“Gaza sudah mengalami sistem kesihatan yang kekurangan banyak sumber daya yang diperlukan. Kami menderita masalah kesihatan, kekurangan ubat-ubatan, dan masalah dengan kepakaran dan kakitangan perubatan,” kata Pegawai Sistem Kesihatan di pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Gaza Dr Khaled Abu Samaan.

 

Dengan adanya wabak seperti Covid-19 ini, keadaan menjadi semakin parah dan masalah meningkat, sama ada dengan peningkatan permintaan terhadap sistem kesihatan khususnya disebabkan oleh peningkatan kemiskinan, dan pengangguran akibat daripada faktor pandemik dan ekonomi.

 

Menurut  laporan, pada akhir tahun lalu dianggarkan lebih 30,000 orang telah dijangkiti Covid-19 yang mana kira-kira 10,000 kes aktif, 364 kes memerlukan kemasukan ke hospital untuk rawatan, 229 kes daripadanya di bawah terapi oksigen berterusan atau serius dan kritikal, 47 kes di ventilator, kadar kematian adalah 0.7 peratus dan kadar kes positif adalah 14 peratus daripada jumlah ujian yang dilakukan di Gaza.

 

Manakala yang terbaharu di Tebing Barat yang menjadi penempatan 2.8 juta rakyat Palestin setakat ini merekodkan lebih 108,000 kes positif Covid-19 termasuk 1,325 kematian. Seterusnya Gaza yang dibelenggu kemiskinan dan didiami dua juta penduduk pula mencatatkan lebih 51,000 kes positif termasuk 523 kematian.

Read 517 times Last modified on Wednesday, 03 February 2021 16:49
DMC Firewall is a Joomla Security extension!