wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Sunday, 07 February 2021 07:00

Sabar itu indah

Written by Ana Syahidah
Rate this item
(1 Vote)

Kehidupan manusia di dunia ini tidak akan terlepas daripada dua hal, iaitu nikmat dan musibah. Begitu banyaknya nikmat yang diberikan oleh Allah, namun terkadang datang musibah yang berupa kesusahan dan kesedihan dan kedua-dua hal ini (nikmat dan musibah) memerlukan kesabaran dalam menerima dan menyikapinya.

Sabar merupakan salah satu pilar kebahagiaan bagi seseorang yang akan memberikan ketenangan dan ketenteraman dalam jiwa manusia.

 

Sabar memiliki tiga perkara: 

 

Pertama, sabar adalah memelihara (menetapkan) jiwa pada ketaatan kepada Allah dan selalu menjaganya, dan memeliharanya dengan keikhlasan serta memperbaikinya atau memperbaguskannya dengan ilmu.

 

Kedua, sabar adalah menahan jiwa daripada maksiat dan keteguhannya dalam menghadapi syahwat dan perlawanannya terhadap hawa nafsu. 

 

Ketiga, sabar adalah keredaan kepada qadak dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah tanpa mengeluh padanya dan keputusasaan.

 

Jalan menuju Allah adalah jalan yang penuh dengan rintangan, sedangkan jiwa itu tidak dapat istiqamah atas perintah Allah dengan mudah. Maka, barang siapa yang ingin menundukkan dan mengekangnya, maka dia harus bersabar.

 

Sabar dalam ketaatan kepada Allah meliputi tiga hal, iaitu: 

 

1. Sabar sebelum melakukan ketaatan tersebut, iaitu dengan niat yang benar, ikhlas dan bersih dari riyak. 

 

2. Sabar ketika menjalankan ketaatan, iaitu dengan tidak lalai dalam melakukannya dan juga tidak bermalas-malasan.

 

3. Sabar setelah beramal, seseorang tersebut hendaknya tidak menjadi takjub dengan dirinya dan menampakkan apa yang ia punya dalam rangka sum’ah dan riyak. Ini kerana hal tersebut hanya akan menghapuskan amalan, pahala dan pengaruh-pengaruh yang seharusnya dia dapat. 

 

Sabar dalam ketaatan kepada Allah antaranya adalah sabar dalam menuntut ilmu, sabar dalam mengamalkan dan sabar dalam mendakwahkannya. 

 

Tiga hal ini tercakup dalam firman Allah Taala yang bermaksud:

“Demi masa, sesungguhnya seluruh manusia benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, saling menasihati dalam kebenaran dan saling menasihati untuk menetapkan kesabaran.” (Al-Asr:1-3)

 

Dalam surah tersebut, Allah menyatakan bahawa seluruh manusia itu berada dalam kerugian, kecuali manusia-manusia yang mempunyai dengan empat sifat tersebut.

 

Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda, “Neraka dikelilingi dengan syahwat (hal-hal yang menyenangkan nafsu), sedangkan syurga dikelilingi hal-hal yang tidak disenangi (nafsu).” (HR Bukhari)

 

Oleh kerana itu, barang siapa yang menginginkan syurga, maka dia harus bersiap untuk bersabar kerana syurga itu dikelilingi oleh hal-hal yang tidak disenangi oleh hawa nafsu.

 

Terkadang seseorang itu merasakan bahawa bersabar menjauhi maksiat itu lebih berat daripada pada bersabar menjalankan ketaatan. Mungkin seseorang bisa bersabar melaksanakan solat malam semalam suntuk, namun dia tidak bisa bersabar jika diminta meninggalkan perkara-perkara yang disenanginya yang tidak dibolehkan oleh syariat.

 

Ibadah merupakan perintah syariat (untuk mengerjakan sesuatu), atau berupa larangan syariat (untuk tidak mengerjakan sesuatu), atau bisa juga berupa ujian dalam bentuk musibah yang ditimpakan Allah kepada seorang hamba supaya dia bersabar ketika menghadapinya.

 

Hakikat penghambaan adalah tunduk melaksanakan perintah syariat serta menjauhi larangan syariat dan bersabar menghadapi musibah-musibah. Musibah yang dijadikan sebagai batu ujian oleh Allah untuk menempa hamba-hamba-Nya. Dengan demikian, ujian itu bisa melalui sarana ajaran agama dan melalui sarana keputusan takdir-Nya. 

 

Sabar adalah pedang yang tidak akan tumpul, tunggangan yang tidak akan tergelincir dan cahaya yang tidak akan padam. Akan tetapi, sabar tidaklah semudah ketika kita mengucapkannya. Jika tidak, Allah tidak akan memberikan pahala yang besar untuk orang-orang yang bersabar, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

 

“Katakanlah (wahai Muhammad akan firman-Ku ini): Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Rabb-mu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan, dan bumi Allah itu luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar: 10)

 

Allah tidak akan memberikan kecintaan dan ma’iyyah-Nya (kebersamaan-Nya) seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

 

“Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)

 

“..Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh. Allah mencintai orang-orang yang bersabar.” (Ali Imran: 146)

 

Allah memberikan kebersamaan yang bersifat khusus kepada orang-orang yang bersabar, dan Allah akan menghilangkan kesusahan daripadanya dan akan memudahkan setiap kebaikan bagi orang-orang yang bersabar. Akan tetapi, sabar tidak bisa kita lakukan dengan mudah, kita memerlukan pertolongan daripada Allah.

Ana Syahidah
Mahasiswi STEI SEBI, Indonesia

Read 488 times Last modified on Sunday, 07 February 2021 12:15

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!