Print this page
Monday, 15 February 2021 10:53

Sinar Harian diugut: Keperluan segera penubuhan Majlis Media Malaysia

Written by Nahar Md Nor
Rate this item
(2 votes)

Pada minggu lalu, para pengamal media terkejut dengan pendedahan Pengerusi Eksekutif Karangkraf, Dato' Hussamuddin Yaacub bahawa seorang pegawai menteri telah melakukan ugutan kepada akhbar Sinar Harian.

Pegawai itu mengugut untuk membatalkan iklan kementerian tempat beliau bertugas di akhbar Sinar Harian jika akhbar tersebut terus memberi ruang dan liputan kepada tokoh-tokoh tertentu.

 

Tindakan mengugut begini bukanlah amalan yang sihat dan tidak melambangkan sebuah masyarakat yang maju dan progresif.

 

Adakah tindakan ini dilakukan kerana pegawai tersebut berasa tergugat oleh aktiviti tokoh berkenaan kerana menteri atau kementerian berkaitan tidak dapat laksanakan tanggungjawab dengan baik? Ini menjadi tanda tanya masyarakat.

 

Sinar Harian yang diterbitkan sejak tahun 2006 dikenali sebagai sebuah akhbar yang bebas yang memberi liputan dan ruang kpd semua pihak bagi menyatakan pendapat.

 

Ternyata masyarakat amat mengalu-alukan akhbar yang bebas dan seimbang ini. Buktinya, di kala banyak akhbar bercetak lain menghadapi masalah pasaran, malah ada yang sudah 'tutup kedai', Sinar Harian edisi cetak terus hidup memberi alternatif yang segar kepada masyarakat.

 

Pegawai berkenan harus sedar bahawa yang menyokong dan menjadikan Sinar Harian terus hidup adalah rakyat. Tindakan pegawai tersebut mengugut Sinar Harian adalah tidak profesional dan bertentangan dengan adab dan etika asas kemanusiaan.

 

Sehubungan dengan itu, adalah wajar dikaji semula hasrat bagi menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMM) yang diuar-uarkan sebelum ini.

 

Selain berperanan bagi menjaga integriti pengamal media, MMM juga boleh berperanan menjaga kepentingan dan hak pengamal media sebagai institusi penting menyampaikan berita daripada kerajaan di samping menyatakan hasrat dan pandangan rakyat.

 

Dalam keadaan mendapat ugutan daripada pegawai kerajaan sebegini, MMM boleh berperanan untuk bertindak sewajarnya bagi menjaga kepentingan pengamal media.

 

Perlu dikaji kemungkinan diwujudkan satu akta yang komprehensif berkaitan MMM bagi memastikan MMM dapat berfungsi secara profesional dan berkesan, seperti akta yang berkaitan pengamal undang-undang atau pengamal perakaunan.

 

Semoga dengan ini, pengamal media tidak lagi akan dibuli oleh pihak-pihak yang rasa tergugat kerana tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

 

Nahar Md Nor
Ahli Jawatankuasa Pusat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 381 times Last modified on Tuesday, 16 February 2021 15:57
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd