wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Wednesday, 17 February 2021 16:04

Sugar baby: 'Manis' yang tragis

Written by
Rate this item
(0 votes)

Tidak dapat dibayangkan bagaimana sesetengah wanita dan mahasiswi sanggup menggadaikan maruah dengan menjadi sugar baby kepada sugar daddy, demi kelangsungan atau kemewahan hidup.

Dakwaan Sugarbook, sebuah laman web dan aplikasi temu janji bahawa seramai 14,433 penuntut IPT di Malaysia telah mendaftar sebagai sugar baby dengan lonjakan lebih 40 peratus pendaftaran baharu, amat mengejutkan.

 

Laman web temu janji SeekingArrangement pula mendakwa bahawa Malaysia berada di kedudukan ketiga di Asia dengan pembabitan 42,500 sugar daddy.

 

Gejala 'sugar' ini bukanlah perkara baru, namun seiring dengan perkembangan teknologi melalui laman web dan aplikasi, ia semakin mendapat sambutan yang ketara mutakhir ini lebih-lebih lagi pada musim pandemik.

 

Antara faktor utama wanita-wanita ini sanggup menjadi sugar baby adalah kerana mereka kesempitan wang untuk hidup atau membayar yuran pengajian yang mahal.

 

Walaupun sudah berdikari dan berkerjaya, ada juga antara mereka terikut-ikut dengan gaya hidup mewah lalu mengambil jalan mudah dengan menjadi sugar baby. Mereka juga diberi segala kemewahan demi memuaskan nafsu sugar daddy yang kaya.

 

Kalau hendak mencari salah, memang mudah, tetapi adakah akan selesai masalah? Sebagai masyarakat yang prihatin, sewajarnya kita lebihkan mencari solusi daripada mencipta sensasi.

 

Selain daripada sekatan laman web dan aplikasi temu janji oleh pihak berkuasa, penulis terfikir, apakah yang menyebabkan mereka kesempitan wang sehingga sanggup menjadi sugar baby? Sudut pandang inilah yang seharusnya diambil kira.

 

Yang sudah berkerjaya, adakah kerana gaji mereka murah atau tidak mencukupi? Adakah mereka ibu tunggal? Yang menjadi mahasiswi, adakah kerana yuran pengajian mereka mahal atau kos sara hidupnya tinggi?

 

Jika gaji menjadi puncanya, seharusnya kerajaan menaikkan lagi kadar gaji minimum yang lebih tinggi dan pihak syarikat wajar menaikkan gaji pekerja sesuai dengan bebanan kerja dan menjaga kebajikan mereka. Tetapi dalam musim PKP sekarang, ia dilihat amat sukar dilaksanakan.

 

Bagaimana pula dengan mahasiswa IPT yang terpaksa menampung yuran pengajian yang mahal? Kebajikan mereka seharusnya diambil berat oleh pihak IPT sendiri kerana pengajian dibuat dalam talian dan kos yuran wajar dikurangkan.

 

Bagi mahasiswa yang bermasalah dengan kos sara hidup, mungkin pihak IPT boleh membantu atau salurkan maklumat mereka kepada pusat zakat atau NGO-NGO kebajikan untuk tindakan lanjut. Bekerja separuh masa di luar IPT untuk menampung kos sara hidup juga boleh menjadi alternatif.

 

Sememangnya agak sukar untuk mengenal pasti siapakah mereka yang terlibat menjadi sugar baby kerana ia melibatkan info daripada syarikat luar negara dan juga menyentuh privasi individu.

 

Walaupun sukar, dengan pelbagai inisiatif bantuan dan kebajikan daripada pihak kerajaan, swasta, IPT, pusat zakat dan NGO-NGO, sekurang-kurangnya ia boleh mengurangkan jumlah mereka yang menjadi sugar baby pada masa hadapan.

 

Sugar daddy pula bagaimana? Mereka seharusnya sedar bahawa kekayaan mereka tidak wajar digunakan untuk membeli kehormatan orang lain tetapi mereka perlu memanfaatkan kekayaannya itu kepada masyarakat dan negara.

 

Terlalu banyak pertubuhan, badan-badan dan NGO kebajikan yang boleh mereka sumbangkan dana bantuan, lebih baik daripada mereka melakukan perbuatan sumbang itu.

 

Apapun, pendidikan tentang akhlak, bahaya zina dan pornografi perlu dipupuk dan dititikberatkan sedari kecil agar anak-anak mampu melindungi kehormatan diri serta tidak mudah mengikut hawa nafsu walaupun berada dalam kesempitan dan kesulitan hidup.

Read 553 times Last modified on Friday, 19 February 2021 11:23

1 Comment

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!