Print this page
Wednesday, 03 March 2021 16:31

Al-Quran dibaca tapi rasuah buat juga

Written by
Rate this item
(0 votes)

Jarang orang kaitkan perbuatan rasuah dengan iman. Biasanya perbuatan jijik ini akan dikaitkan dengan faktor hilangnya nilai integriti dalam diri.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, integriti bermaksud kejujuran atau keadaan sempurna dan utuh, keutuhan, dan orang berintegriti bermakna ia mempunyai kejujuran dan keutuhan diri.

 

Dalam Islam, terlalu banyak sumber daripada al-Quran dan hadis yang menyebut dan menitikberatkan aspek integriti dan kejujuran dalam kehidupan sebagai tanda keimanan seperti bercakap benar, menunaikan amanah yang diberi, tidak memakan harta yang haram dan lain-lain.

 

Pendek kata, sikap berintegriti dan jujur sangat berkait rapat dengan keimanan. Namun, sejauh manakah nilai-nilai ini dipraktikkan dalam kehidupan Muslim sehari-hari?

 

Jika di Malaysia, banyak kes rasuah majoritinya melibatkan mereka yang Melayu dan Muslim dalam kalangan kontraktor, ahli politik, penjawat awam, ahli perniagaan mahupun rakyat bawahan.

 

‘Duit kopi’, ‘duit bawah meja’, sogokan atau suapan sudah menjadi istilah yang sinonim dengan rasuah. Mengapa ini terjadi? Sudah pasti kerana mereka yang terlibat gagal memahami intipati al-Quran dan Sunnah itu sendiri yang melarang perbuatan keji ini. Mereka yang mahir membaca al-Quran belum tentu dapat memahami apatah lagi mengamalkan isi kandungannya.

 

Penulis tertarik dengan pandangan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Dato' Hussamuddin Yaacub dalam Bicara Bina Negara anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Sinar Harian baru-baru ini mengenai kefahaman Muslim tentang al-Quran.

 

"Kita boleh lihat, cara orang dulu belajar al-Quran dengan hafal saja. Dia mengaji saja, tapi dia tidak faham. Bila dia tidak faham, dia akan tengok apa yang orang buat di sekelilingnya."

 

Menurutnya, cara untuk membetulkan hidup orang Islam adalah dengan menukar sistem operasi mereka dengan sistem operasi al-Quran supaya mereka dapat memahami dan mengamalkannya seterusnya menjauhi rasuah.

 

Begitu juga kenyataan Presiden IKRAM, Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad yang mengkritik sikap masyarakat Muslim terhadap rasuah.

 

"Kita selalu kalut belajar pasal taharah, tentang fiqh ibadah, tetapi fiqh muamalat 'ke laut'. Pergi surau, pergi masjid masya-Allah, puasa Isnin Khamis, tetapi rasuah nombor satu."

 

Jelasnya, jika kita ingin membangunkan negara yang bagus, rakyat perlu dibangunkan dari aspek pembinaan akhlak yang baik terlebih dahulu.

 

Oleh itu, sudah sampai masanya perbuatan rasuah yang haram dan keji ini dicantas hingga ke akar umbi daripada terus menjadi barah sosial yang normal dalam masyarakat kita.

 

Selain usaha membanteras rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kempen besar-besaran seperti #RasuahBusters yang digerakkan Sinar Harian dan disokong sepenuhnya oleh IKRAM dengan tanda pagar #KitaTolakRasuah wajar diberi sokongan padu sebagai tanda kita semua membenci rasuah dalam apa-apa bentuk sekalipun.

 

Islam melarang keras perbuatan rasuah kerana ia satu perbuatan haram dan berdosa besar kerana ia akan merampas hak dan harta orang lain dengan jalan yang salah.

 

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Al-Baqarah: 188)

 

Daripada Thauban RA, beliau berkata: "Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya." (Hadis Riwayat Ahmad dan Thabrani)

 

Sehubungan itu, sebagai pertubuhan yang prihatin dengan gejala ini dan berusaha membanteras rasuah serta memupuk masyarakat yang berintegriti, IKRAM menjadikan bulan Mac 2021 sebagai Bulan Kempen Anti Rasuah.

 

Selain menganjurkan webinar, wacana, pertandingan filem pendek dan pertandingan menulis, IKRAM juga turut melancarkan kempen memasukkan 'frame' #KitaTolakRasuah dalam gambar profil di akaun Facebook masing-masing sebagai tanda sokongan atas usaha dan inisiatif memerangi rasuah. Untuk info lanjut kempen ‘frame’ ini, sila layari http://bit.ly/frame-tolak-rasuah.

 

Marilah bersama-sama kita memutuskan rantaian rasuah bermula daripada diri kita.

 

[Minda Editor]

Read 186 times Last modified on Wednesday, 03 March 2021 16:52
Mohammad Hafizuddin

Latest from Mohammad Hafizuddin

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd