wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 10 رمضان 1442   |   Wednesday 21 April 2021
Thursday, 04 March 2021 13:30

Jamal Khashoggi pencetus gelombang kontroversi (Bhg. 1)

Written by Atriza Umar
Rate this item
(2 votes)

Pada 2 Oktober 2018, seorang wartawan Arab Saudi yang tinggal di Amerika Syarikat, memasuki konsulat negaranya di Istanbul, tempat di mana beliau terbunuh.

Hinggakan pada bulan-bulan berikutnya, berlegar kisah-kisah bagaimana kematiannya, apa yang terjadi kepada jenazahnya dan siapa yang bertanggungjawab atas kematian tersebut.

 

Tahukah kita, pegawai Saudi mengatakan bahawa wartawan itu terbunuh dalam operasi jahat oleh sepasukan ejen yang dihantar untuk meyakinkannya kembali kepada kerajaan, sementara pegawai Turki mengatakan ejen-ejen tersebut bertindak atas arahan tertinggi Arab Saudi.

 

Jamal Khashoggi dilahirkan di Madinah pada tahun 1958 dari keluarga yang berasal dari Turki, terkenal dengan kritikannya terhadap pemerintah Saudi, setelah Muhammad bin Salman menjadi Putera Mahkota.

 

Beliau menghadirkan dirinya ke dunia luar sebagai pelopor reformasi dalam keadaan negaranya menyaksikan gelombang penangkapan terhadap ulama, aktivis dan pembela hak asasi manusia juga aktivis yang mempertahankan hak wanita.

 

Beliau belajar ilmu kewartawanan di Indiana University dan memulakan kerjayanya sebagai wartawan, kemudiannya menjadi lebih terkenal setelah berjaya memberikan liputan peristiwa di Afghanistan, Algeria, Kuwait dan Timur Tengah pada tahun 1990-an.

 

Khashoggi adalah antara mereka yang mencetuskan gelombang kontroversi ketika menulis pada statusnya di laman Twitter mempertahankan tokoh ilmuwan Islam Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi dan gerakan Ikhwanul Muslimin yang digolongkan sebagai pengganas oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir pada waktu itu.

 

Beliau bertugas sebagai timbalan ketua editor Arab News pada akhir 1990-an dan kekal dalam kedudukan itu selama empat tahun. Pada tahun 2004, beliau dilantik sebagai ketua pengarang surat khabar Al-Watan, suatu kedudukan yang mana beliau pernah disingkirkan tanpa penjelasan.

 

Pada tahun yang sama itu juga, Khashoggi bekerja sebagai penasihat media Putera Turki al-Faisal dan beliau terus melakukannya selama bertahun-tahun. Turki al-Faisal telah lama menjadi Pengarah Perisikan Saudi (1977-2001).

 

Setelah itu, Turki al-Faisal memegang jawatan penting dalam urusan diplomatik iaitu sebagai duta besar kerajaan ke Britain dan kemudian duta besar Saudi ke Amerika.

 

Pada tahun 2015, Khashoggi dilantik sebagai pengurus besar saluran berita Al-Arab yang berpusat di Manama, Bahrain yang dimiliki Putera Al-Waleed bin Talal, tetapi tidak lama kemudian ia ditutup selepas pembukaannya.

 

Surat khabar tempatan mengaitkan alasan penutupan mereka pada waktu itu dengan perselisihan dengan pihak berkuasa Bahrain mengenai dasar editorial. Sementara itu, pemerintah Bahrain tidak memberikan komen mengenai alasan penutupan tersebut.

 

Khashoggi juga pernah bekerja sebagai pengulas politik, muncul di sejumlah saluran Saudi dan Arab.

 

Pada Disember 2017, surat khabar Putera Khaled bin Sultan, Al-Hayat mengakhiri hubungannya dengan Khashoggi dan melarang tulisannya diterbitkan oleh akhbar itu, dengan mendakwa pelanggaran terhadap Arab Saudi.

 

Sebelum kematiannya, Khashoggi tinggal di pengasingan yang dipaksakan sendiri di Amerika Syarikat.

 

Dalam kolum pertamanya di Washington Post pada bulan September 2017, Khashoggi mengatakan bahawa beliau takut dirinya akan ditangkap dalam kempen anti-perbezaan pendapat yang diawasi oleh UAE.

 

Khashoggi menulis beberapa buku yang memenangi banyak penghargaan termasuk ‘Hubungan Kritikal - Arab Saudi setelah 9/11’, ‘Musim Semi Arab di Masa Ikhwanul Muslimin’ dan ‘Pendudukan Pasar Saudi’.

 

Beliau sering dipandang sebagai pakar dalam isu domestik di Arab Saudi, hingga dirinya memutuskan untuk pergi sejak 2017 di tengah-tengah laporan mengenai permulaan kempen menentang pemegang pendapat yang tidak setuju dengan sikap Putera Mahkota.

 

Mengapa berada di konsulat?

 

Khashoggi mengunjungi konsulat Saudi di Istanbul untuk pertama kalinya pada 28 September 2018 untuk mendapatkan dokumen Saudi yang menyatakan bahawa beliau telah bercerai, sehingga membolehkannya menikahi tunangnya dari Turki, Hatice Cengiz.

 

Tetapi beliau dimaklumkan bahawa beliau perlu kembali untuk mendapatkan dokumen itu pada 2 Oktober.

 

"Beliau tidak menyangka sesuatu yang buruk akan terjadi padanya di tanah Turki," tulis Cengiz dalam Washington Post.

 

Cengiz telah menghantarnya ke pintu masuk konsulat pada 2 Oktober. Khashoggi kali terakhir dilihat dalam rakaman CCTV ketika dia memasuki bangunan pada pukul 1.14 petang waktu tempatan.

 

Cengiz akhirnya menunggu lebih 10 jam di luar konsulat dan kembali keesokan harinya ketika Khashoggi tidak muncul lagi.

 

Apa kata Arab Saudi?

 

Selama lebih dua minggu, Arab Saudi secara konsisten menolak sebarang pengetahuan mengenai nasib Khashoggi. Putera Mohammed bin Salman memberitahu Bloomberg News bahawa wartawan itu meninggalkan konsulat setelah beberapa minit atau satu jam, sambil menambah bahawa tiada apa  yang perlu disembunyikan.

 

Namun, dalam perubahan nada pada 20 Oktober, pemerintah Arab Saudi mengatakan bahawa siasatan awal oleh pendakwa raya menyimpulkan bahawa wartawan itu telah meninggal dunia semasa pergaduhan setelah menentang percubaan untuk mengembalikannya ke Arab Saudi.

 

Pada 15 November, Timbalan Pendakwa Raya Agung Arab Saudi, Shaalan al-Shaalan mengatakan bahawa pembunuhan itu diperintahkan oleh ketua pasukan perundingan yang dikirim oleh wakil ketua perisik Saudi ke Istanbul untuk mengembalikan Khashoggi kepada kerajaan dengan pujukan dan jika gagal, ia perlu dilakukan secara paksa.

 

Shaalan mengatakan bahawa penyiasat menyimpulkan bahawa Khashoggi ditahan secara paksa setelah bertengkar serta menyuntik sejumlah bahan narkotik yang melebihi dos hingga menyebabkan kematiannya. Dia menambah bahawa tubuhnya kemudian dibongkar dan diserahkan kepada kolaborator tempatan di luar konsulat untuk dibuang.

 

Shaalan mengesahkan bahawa lima orang mengaku pembunuhan itu, sambil menambah bahawa Putera mahkota tidak mengetahui hal itu.

 

Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Arab Saudi?

 

Pejabat Pendakwaan Awam Arab Saudi mengatakan pada akhir September 2018 bahawa 31 orang telah disiasat atas pembunuhan tersebut dan 21 daripadanya telah ditangkap.

 

Lima pegawai kanan kerajaan juga dipecat termasuk wakil ketua perisik, Ahmed al-Asiri dan Saud al-Qahtani, pembantu utama bin Salman. Pada Januari 2019, 11 orang diadili di Mahkamah Jenayah Riyadh atas pembunuhan Khashoggi dan Pendakwa Raya Penuntut menuntut hukuman mati terhadap lima orang tertuduh.

 

Human Rights Watch mengatakan bahawa perbicaraan yang berlangsung secara tertutup itu tidak memenuhi piawaian antarabangsa dan bahawa pihak berkuasa menghalang pertanggungjawaban sebenar.

 

Pada bulan Disember 2019, mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada lima orang tersebut kerana telah melakukan dan terlibat secara langsung dalam pembunuhan Khashoggi. Tiga yang lain dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun kerana menutup kejahatan ini dan melanggar undang-undang, sementara tiga yang lain didapati tidak bersalah.

 

Pendakwaan Awam mengatakan bahawa Al-Asiri diadili tetapi dibebaskan kerana bukti tidak mencukupi, sementara Al-Qahtani disiasat atas pembunuhan itu tetapi dia tidak didakwa.

 

Dalam sidang media setelah keputusan itu, Shaalan mengatakan bahawa siasatan pendakwaan menunjukkan bahawa pembunuhan itu tidak dirancang.

 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyiasat kes itu, Agnes Callamard, menolak pernyataan ini. Beliau menggambarkannya sebagai sangat tidak masuk akal dan perbicaraan itu bertentangan dengan konsep keadilan kerana membebaskan dalang.

 

Tetapi anak lelaki Khashoggi, Salah yang tinggal di Arab Saudi menulis pada statusnya di Twitter, "Kami menegaskan keyakinan kami terhadap badan kehakiman Saudi di semua peringkat, dan bahawa itu adil bagi kami dan keadilan telah dicapai."

 

Pada bulan Mei 2020, Salah Khashoggi dan saudara-saudaranya berkata:

"Kami mengampuni orang-orang yang membunuh ayah kami, semoga Tuhan mengasihani dia demi Tuhan Yang Maha Esa," setuju dengan pendapat Penuntut Umum bahawa pembunuhan itu tidak dirancang.

 

Empat bulan kemudian, Mahkamah Jenayah Riyadh menjatuhkan hukuman mati lima defendan kepada 20 tahun penjara, tiga yang lain dijatuhkan hukuman penjara antara tujuh hingga sepuluh tahun. Pihak pendakwaan mengatakan keputusan itu adalah muktamad dan perbicaraan jenayah kini ditutup.

 

Agnes Callamard menggambarkan hukuman itu sebagai ejekan terhadap sebuah keadilan.

 

"Pihak berkuasa Arab Saudi menutup fail tanpa mengetahui siapa yang bertanggungjawab atas kematian Khashoggi. Siapa yang merancangnya? Siapa yang mengarahkannya dan di manakah jenazahnya? Ini adalah persoalan asas dan paling penting yang belum terjawab.”

 

Apa versi Turki?

 

Pegawai Turki mengatakan bahawa 15 orang warga Arab Saudi disertai tiga ejen perisik tiba di Istanbul beberapa hari sebelum pembunuhan Khashoggi. Kumpulan tersebut mengeluarkan kamera pengawasan dan bahan-bahan yang dirakamnya di dalam konsulat Arab Saudi sebelum kedatangan wartawan yang terbunuh di bangunan itu.

 

Peguam Negara Istanbul, Irfan Fidan mengatakan bahawa pada 31 Oktober 2018 Khashoggi dicekik dan badannya dibongkar tidak lama setelah memasuki konsulat.

 

Dalam sebuah artikel yang ditulisnya di Washington Post, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengatakan bahwa siasatan menunjukkan bahawa Jamal Khashoggi dibunuh oleh pasukan pembunuh, dan pembunuhan itu adalah pembunuhan yang dirancang.

 

"Terdapat pertanyaan lain yang tidak kurang penting yang jawapannya akan menyumbang untuk memahami keadaan perbuatan memalukan ini. Di manakah mayat Khashoggi? Siapakah orang tempatan yang didakwa Arab Saudi membuang mayat beliau? Siapa yang memberi arahan untuk semua itu? Jawab soalan-soalan itu,” tegas Erdogan.

 

Mac tahun lalu, peguam negara di Istanbul membawa tuduhan rasmi pembunuhan Khashoggi terhadap Saud Al-Qahtani, Ahmed Al-Asiri dan 18 defendan lain.

 

Arab Saudi menolak permintaan ekstradisi yang dikemukakan oleh Turki yang mengarah kepada perbicaraan, yang mana 20 orang yang dituduh tidak hadir, pada 20 Julai 2020 di sebuah mahkamah Istanbul. Peguam yang dilantik oleh mahkamah Turki untuk membela defendan mengatakan bahawa kliennya menafikan semua tuduhan terhadap mereka.

 

Manakala pada November lalu, mahkamah menerima penambahan enam defendan baru Saudi untuk kes tersebut termasuk Wakil Konsul Saudi di Turki, dan salah satu daripada dua diplomat yang menghadapi tuduhan pembunuhan yang direncanakan dengan niat yang kejam. Empat yang lain dituduh memusnahkan, menyembunyikan dan mengganggu bukti yang sedia ada.

 

Siasatan PBB?

 

Sebuah laporan yang dikeluarkan pada Jun 2019, yang disiapkan oleh Pelapor Khas PBB, Agnes Callamard menyimpulkan bahawa pembunuhan Khashoggi merupakan pembunuhan di luar kuasa yang mana Arab Saudi bertanggungjawab atasnya.

 

Beliau juga mengungkapkan bahawa terdapat bukti yang boleh dipercayai yang memerlukan penyelidikan mengenai keterlibatan Putera Mohammed bin Salman dan pegawai tinggi lain di Arab Saudi dalam pembunuhan itu.

 

Menurutnya, putera raja itu harus dikenakan sekatan yang telah dijatuhkan oleh negara anggota PBB ke atas beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan tersebut.

 

Callamard juga menegaskan bahawa siasatan yang dilakukan oleh Arab Saudi dan Turki tidak memenuhi standard antarabangsa. Beliau turut menuntut agar perbicaraan terhadap 11 orang tertuduh ditangguhkan kerana ia tidak akan memberikan keadilan yang semestinya.

 

Dalam pada itu, perbicaraan yang berlangsung secara tertutup hinggakan identiti mereka yang menghadapi tuduhan dan mereka yang menghadapi hukuman mati belum didedahkan.

 

Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Adel Al-Jubeir menolak kenyataan tersebut dan menjelaskan di akaun Twitternya sebagai “tidak ada sesuatu yang baru” dan ia bertentangan dengan tuduhan tidak berasas yang merosakkan kredibilitinya.

 

"Kehakiman Arab Saudi adalah satu-satunya pihak berkuasa yang dipercayai untuk menangani kes Khashoggi dan ia berfungsi dengan penuh keadilan."

 

*Bersambung ke Bahagian 2

Kredit foto: The New Yorker

Read 235 times Last modified on Thursday, 04 March 2021 14:30

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!