Print this page
Saturday, 06 March 2021 13:20

Rasa nak marah je...

Written by Mohd Shafawi Saaid
Rate this item
(0 votes)

Penulis rasa terdetik untuk menulis berkisar kehidupan terutama di bandar-bandar besar yang harus kita tempuh setiap hari.

Kebiasaannya apabila bangun daripada tidur pada waktu pagi dan sesudah menunaikan kewajipan kepada Sang Pencipta, para pekerja akan bergegas terus untuk bersiap sedia mempersiapkan diri untuk pergi ke tempat kerja.

 

Ia sudah menjadi satu kelaziman. Persekitaran di luar ketika hendak pergi bekerja yang mana mahu atau tidak perlu juga dihadapi, paling tidak disukai adalah suatu yang namanya ‘traffic jam’.

 

Traffic jam’ atau kesesakan jalan raya boleh menjadi aspek ukuran suatu tahap kesabaran. Sejauh mana seseorang mampu untuk menghadapinya atau sebaliknya.

 

Kesabaran menjadi tunjang kepada rupa paras atau personaliti seseorang ketika hendak mencari rezeki dan menghadapkan wajah dan diri untuk menghadapi pelbagai aneka ragam di luar rumah dan di tempat kerja. 

 

Kesabaran memainkan peranan penting. Jika tidak, kemungkinan besar rakan-rakan di tempat kerja boleh melihat wajah kita mungkin masam mencuka di kala pagi hari walhal kerja belum dimulakan.

 

Malah jika mulakan kerja, ditambah pula dengan bebanan kerja yang ada, mungkin sebentar tadi marah dan akan timbul pula tekanan. Oleh itu, jika kedua-dua marah dan tekanan diadun sekali, maka ramuannya boleh menjadikan suatu perasaan yang namanya ‘bengang’, rasa hendak mengamuk, menangis dan mungkin pelbagai perasaan akan timbul.

 

Marah? Tengok cermin

 

Senang sahaja rasanya jika kita berjaya mempraktikkan tip berikut. Apa kata sebelum marah atau menghadapi situasi yang mampu membuatkan kita marah, lepas itu kita pergi ke tandas, kita basuh muka dan pandang cermin. Cuba kita lihat pada wajah kita, tampan atau tidak, cantik atau tidak, jika kita membuat muka masam sahaja pada pagi hari?

 

Lebih baik kita ingat apa matlamat kita hendak pergi kerja. Tidak mungkin kita hendak pergi kerja hanya kerana hendak melepaskan marah atau bengang di kala pagi terhadap rakan-rakan, orang bawahan dan sebagainya.

 

Siapa yang mahu pagi-pagi lagi sudah dimarahi, jika yang mahu dimarahi di pagi-pagi hari itu mungkin sengaja suka hendak mendengar bosnya, rakannya membebel? Tetapi kebanyakan kita semua ingin bekerja dalam keadaan aman dan damai.

 

Fikir sejenak jika kita marah terutamanya pada waktu pagi terutamanya secara tidak sengaja kita terlambat pergi bekerja lalu menjadikan muka kita masam. 

 

Alangkah baiknya untuk kita duduk diam sejenak dan berfikir, “Lambat datang kerja angkara aku sendiri. Oleh itu, buat apa aku hendak marah pada kerja aku? Padahal  kerja aku, rezeki, Tuhan yang bagi”.

 

Dari itu, eloklah untuk kita tidak lagi menyalahkan diri kita yang lambat ke tempat kerja dan seboleh-bolehnya memperbaiki kelemahan ini kerana itu rezeki yang Tuhan yang berikan dan ia menjadi suatu tanggungjawab.  Lihat dalam-dalam diri kita dan kenal pasti itulah kelemahan diri kita.

 

Ganti marah dengan senyum

 

Kemarahan boleh digantikan dengan sabar dan senyum, malah ia lebih mudah sepertimana dalam iklan di kaca televisyen, lagu mengenai senyum.

 

"Senyum seindah suria 

Yang membawa cahaya

Senyumlah dari hati

Duniamu berseri…"

 

Lihatlah lirik tersebut, senyum itu indah. Bawalah keikhlasan dalam senyuman. Janganlah kopi, teh atau apa-apa jua minuman sahaja yang manis, senyum pun perlulah manis dan penuh keikhlasan.

 

Jika bertepatan dengan cara kita mengawal kemarahan dengan kesabaran  diselang-selikan dengan senyuman, mungkin kita dapat mengelakkan seribu tanda tanya kepada rakan-rakan sekeliling kita mengapa wajah kita tidak sedikit pun melemparkan senyuman malah sentiasa berwajah seolah-olah ‘bad mood’ atau masam sahaja.

 

Pengendalian marah kepada senyuman mampu meletakkan marah itu jauh daripada  sikap dan nilai diri kita. Mungkin dengan itu kita boleh berhibur seketika atau sentiasa ingat pada Tuhan, Allah SWT, maka secara autumatik marah akan hilang jika kita kawal ia sebaik mungkin. Senyum sebagai ganti, lalu menjadikan hidup kita indah pada hari itu.

 

Tingkatkan potensi diri

 

Setiap manusia Allah telah jadikan sempurna dan dalam kesempurnaan itu terdapat keistimewaan yang berperanan menjadikan siapa diri kita di dunia ini, apa yang cenderung kita laksanakan, adakah kita layak untuk menjadi khalifah di muka bumi ini atau sebaliknya, iaitu yang membawa kepada kecenderungan melakukan perkara-perkara yang negatif, gemar kepada maksiat yang boleh mengundang penyakit hati.

 

Setiap kita di dunia telah dijadikan sempurna itu berkait rapat dengan potensi diri, namun sejauh mana kita mempunyai potensi diri? Kita mungkin membicarakan tentang cita-cita dan kejayaan yang diinginkan pada masa depan, maka ia harus dilengkapi dengan disiplin, sabar, tabah, ketekunan dan kekuatan . Mengenal pasti potensi diri umpama ranting-ranting pohon yang melengkapi sebatang pohon yang rendang.

 

Potensi diri harus ditelusuri bersama keyakinan dan rasa tanggungjawab. Kita boleh membongkar apa kehebatan diri kita yang dapat kita manfaatkan sepertimana sabda Rasullullah SAW: "..setiap orang diberi kemudahan sesuai dengan tujuan dia diciptakan…" (HR Muslim)

 

Allah telah berfirman yang bermaksud: "..dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (tersendiri) yang menghadap kepadanya..." (Surah Al-Baqarah: 148)

 

Allah ingin melihat kita sebagai seorang doktor yang kuat pegangan agama, karyawan yang hebat agamanya dan apa-apa lagi karier yang tinggi dan besar asalkan kuat pegangan kepada agama.

 

Sesungguhnya potensi diri adalah kurniaan Allah dan dengan mendalaminya, ia akan memberi manfaat untuk diri kita dan orang di sekeliling kita serta masyarakat di luar sana.

 

Begitulah kepentingan mempunyai kebolehan mengawal diri dan mengenal pasti apa yang kita boleh dan usahakan untuknya. Andai kita tidak mampu mendapatkan apa yang kita harapkan, kita tidak perlu risau apa-apa.

 

Mungkin kita pula berpeluang menjadikan diri kita sebagai contoh untuk diteladani oleh masyarakat, mungkin kita dapat mengajak orang berbuat baik, mencegah kemungkaran, berinfak di jalan Allah serta mencari keredaan Allah dalam hidup ini. 

 

Buang jauh-jauh marah-marah, murahkan senyuman, kuatkan potensi diri dan cari keredaan Allah SWT, insya-Allah hidup lebih bermakna.

 

Mohd Shafawi Saaid

Read 248 times Last modified on Saturday, 06 March 2021 13:32
Our website is protected by DMC Firewall!