wrapper

Berita Terkini

الجمعة 26 رمضان 1442   |   Friday 07 May 2021
Friday, 26 March 2021 08:00

“Weh, doktor beritahu aku ada Bipolar”

Written by Jiha Jahari
Rate this item
(0 votes)

“Weh, doktor beritahu aku ada Bipolar.” Baru saja saya mahu meletakkan kepala di atas meja untuk lelap sekejap, terus mengangkat kepala semula. Terbuntang luas kedua-dua biji anak mata.

Yang tadinya mengantuk dek kelas pagi, terus segar-bugar. Rakan-rakan yang lain tidak memberi respons. Agaknya tergamam juga dengan kata-katanya. Suasana kelas menjadi sedikit kekok.

 

Orang kata, kita tidak pernah tahu sehinggalah kita sendiri merasa. Ayat ini tepat kena pada saya tatkala seorang rakan saya disahkan menghidap Bipolar Disorder. Kalau sebelum ini saya hanya baca di timeline Twitter beberapa thread pesakit yang juga menghidap Bipolar, kini saya sedang berhadapan dengan pesakit di depan mata.

 

Sejurus saja dia berkata begitu, terus otak saya mengimbas kembali hari-hari kami sepanjang di dalam kelas, di bangunan kediaman, di kedai makan dan banyak lagi perkara yang pernah dilakukan bersama.

 

Tampak seperti biasa, seperti hari-hari yang normal, langsung saya tidak pernah terfikir pun bahawa dia berada dalam dunia yang menghimpit jiwanya.

 

Kadang, topik ini menjadi topik perbualan saya dan rakan-rakan. Dengan adanya rakan yang sedang bergelut dengan sakitnya itu, saya belajar untuk empati dan belajar untuk mengambil tahu.

 

Saya belajar untuk menjadi pendengar yang baik walaupun tidaklah sebaik yang boleh diberikan. Saya juga belajar untuk bercakap atau memberi nasihat yang wajar untuk diperkatakan.

 

Baru saja membaca kisah pertama dalam ‘Aku Dijangkiti Kehidupan’, terasa sedang membaca sebuah diari. Setiap bait kata itu penuh pengharapan, mengharapkan pembaca yang membaca kisah mereka ini mulai sedar dan tahu akan goncangan emosi mereka. 

 

Sepertimana sakit fizikal yang lain, yang zahir sakitnya dan perlu diubati, begitu juga dengan sakit-sakit yang selalu saja disalahkan iman mereka. Betapa zalimnya kita untuk menghakimi mereka seperti itu. Mereka juga sakit yang perlu dibantu dan diubati.

 

Selepas membaca kisah-kisah pejuang yang menulis dengan penuh pengharapan pada setiap bait kata yang tertulis dalam buku ini, saya juga cuba belajar tentang suatu perkara iaitu bersangka baik. Kita langsung tidak ada hak untuk menghakimi manusia. 

 

Segala yang terjadi pada masa silam sesiapa pun atau yang sedang terjadi kini, sudah pun terjadi. Kini, kita sebagai seorang anak, adik, kakak, abang, kawan yang ada di sisi pesakit ini setidaknya bersama mereka sebagai seorang manusia, bukanlah sebagai seorang malaikat atau Tuhan.

 

Mujur saja teman saya itu punya teman di sekelilingnya. Seringkali rakan sebiliknya mesej bertanya keadaannya di dalam kelas. Kalau-kalau mood dia tidak baik di dalam kelas, bolehlah rakan sebiliknya itu menyediakan bubur, memberi air minuman atau coklat kepadanya. 

 

Ada masa kita memerlukan tempat untuk melepaskan perasaan, ada masa orang lain pula yang memerlukan kita untuk menceritakan kisah mereka. Kalau pun kita tidak mahu cakna dan membantu, setidaknya janganlah kita bersangka buruk. Jadilah manusia yang baik-baik saja, bersangka buruk tidak, bercakap buruk jangan.

 

Pada akhirnya, kita ini semua manusia yang Tuhan ciptakan dengan emosi dan perasaan. Cuma takungan emosi dan perasaan setiap daripada kita ini tidak sama. Setiap daripada kita sedang berjuang, berjuang untuk hidup. Maka, carilah penghidupan yang menghidupkan jiwa. 

 

Jiha Jahari

Read 198 times Last modified on Friday, 26 March 2021 14:26

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!