wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 13 ذو القعدة 1442   |   Tuesday 22 June 2021
Thursday, 06 May 2021 10:53

Akhlak dalam berkomunikasi

Written by Dr Mohamed Hatta Shaharom
Rate this item
(0 votes)

Komunikasi boleh ditakrifkan sebagai satu proses yang dilakukan oleh manusia untuk memindahkan maklumat dan idea daripada seorang individu atau kumpulan individu kepada individu atau kumpulan individu yang lain.

Peranan perasaan serta fikiran sangat penting dan kedua-dua anasir itu mempunyai kaitan langsung dengan niat sesuatu komunikasi itu disampaikan.

 

Bila kita perhatikan apa yang berlaku dalam kehidupan, kita akan sedar bahawa perasaan dan fikiran juga boleh disampaikan dan dikomunikasikan antara seorang individu dengan individu yang lain, atau daripada satu kelompok manusia kepada satu kelompok manusia yang lain.

 

Misalannya, idea yang meyakinkan boleh berpindah-pindah sebagai satu fikrah dalam kalangan banyak insan. Begitu juga perasaan boleh berpindah antara individu dengan individu, antara individu dengan kelompok dan antara kelompok dengan kelompok.

 

Lihat saja bagaimana diri kita dikesani oleh orang yang sedang meratap dengan penuh hiba dalam suasana perkabungan. Sebaliknya, kita juga mudah dijangkiti oleh perasaan kumpulan orang yang sedang berbahagia dan dihiburkan lelucon yang dihamburkan oleh seorang pelawak.

 

Komunikasi luar dan dalam diri

 

Komunikasi yang berlaku antara individu dengan individu lain atau komunikasi sesama ahli dalam sesuatu kumpulan, mudah difahami oleh sesiapa saja. Maklum balas, pandangan, maklumat serta ilmu yang dikongsi bersama juga merupakan satu suasana yang biasa kita temui.

 

Satu lagi jenis komunikasi yang senang kita abaikan ialah komunikasi yang berlaku dalam diri. Keadaan bertafakur dan berzikir adalah misalan paling baik yang menunjukkan manusia boleh berkomunikasi dalam dirinya tanpa memerlukan langsung pertolongan orang lain.

 

Tabayun

 

Tidak lengkap rasanya jika tidak ditulis tentang peranan akhlak dan sikap kerapian dalam komunikasi. Sikap memastikan dulu kesahihan berita yang merunsingkan adalah prinsip tabayun atau penentuan kejelasan tentang sesuatu perkara.

 

Langkah itu sangat diperlukan supaya kekeliruan serta pendustaan tidak berlaku dalam kehidupan. Ia bertepatan dengan maksud ayat al-Quran:

 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka tentukanlah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Al-Hujurat: 6)

 

Amaran ALLAH SWT kepada para pendusta amat jelas dalam maksud ayat al-Quran berikut:

"Sesungguhnya yang mengada-adakan pendustaan hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat ALLAH dan mereka itulah para pendusta." (An-Nahl: 105)

 

Soldadu kebenaran

 

Daripada apa yang dapat kita tafakurkan daripada makna ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis yang sahih, akhlak yang mulia sangat penting dalam kita berkomunikasi. Sehubungan dengan itu, prinsip tabayun wajib dihayati oleh individu dan masyarakat yang mahukan kebenaran hidup melata dalam negara dan dunia.

 

Dalam dunia penyampaian maklumat kini, kebenaran bercampur aduk dengan kebatilan. Masyarakat menghadapi masalah untuk membezakan antara penulis media sosial yang mencari kebenaran dengan golongan penulis yang memesongkan kebenaran.

 

Soldadu maya yang menjadi tentera upahan sanggup menulis apa saja bahan sampah dan kepalsuan asalkan ia dibayar menurut kemahuan nafsunya. 

 

Begitu juga penulis surat layang yang takut menzahirkan namanya tapi sanggup melakar angkara asalkan ia berasa puas. Pada hakikatnya, kepuasan yang hakiki tidak pernah hinggap lama dalam hayat para pembuat onar.

 

Kepuasan hanya hinggap sebentar, menyentuh dirinya sekejap kemudian terbang menghilang. Maka si pembuat fasad hanya rasa seronok tapi untuk sejenak saja.

 

Hanya para pejuang kebenaran saja yang dapat mengecapi kebahagiaan yang boleh bertahan lama hinggalah ke akhir hayat. Walaupun mereka diseksa dan dibunuh, kemuliaan hayat mereka menjadi teladan sepanjang masa. Itulah kebahagiaan yang berkekalan hingga akhirat.

 

Maka, sama-samalah kita menggunakan komunikasi yang baik dan betul untuk menyeru kebaikan dan menolak segala bentuk kemungkaran. Jadilah kita soldadu kebenaran dan pembangun tamadun insan.

 

Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom
Pengerusi Yayasan Ikram Malaysia

Artikel ini telah diterbitkan oleh Sinar Harian pada 17 Julai 2019.

Read 137 times Last modified on Thursday, 06 May 2021 11:17

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd