wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 13 ذو القعدة 1442   |   Tuesday 22 June 2021
Thursday, 06 May 2021 14:57

Pahala atau dosa percuma?

Written by Atriza Umar
Rate this item
(3 votes)

Berkisah tentang pahala percuma ni, sangat menarik sebenarnya. Apalagi, ada yang beranggapan pahala 'free' itu mudah saja nak dapatkan. Ya, memang mudah. Namun, jangan disalahertikan! Ia tidaklah semudah yang disangkakan. 

Silap-silap, ia boleh mendatangkan ganjaran dosa kepada yang mencetuskan sesuatu. Atau pendek kata, ia menjadi perkara yang tersangatlah sia-sia terhadap empunya diri.

 

Ya, kita masih pada bulan Ramadan al-Mubarak. Mubarak dengan bahasa mudahnya bermaksud kebaikan yang berganda-ganda dan menghasilkan ganjaran kebaikan yang banyak. Sebagai contoh, kita lakukan satu kebaikan, maka berturut-turut datang kebaikan yang lain dan ganjarannya pun menggunung. Sangat masya-Allah, bukan?

 

Jadi, perlulah kita sedari dan ambil kesempatan apalagi prihatin dengan saat dan waktu yang masih diberikan-Nya ini, kita dakap serta perbuatlah sebanyak mana kebaikan, bukan mencetuskan satu fenomena yang merasakan diri itu benar dan orang yang menegur itu berbuat dosa.

 

Kita sebagai masyarakat yang faham agama seharusnya tidak terjebak atau membiarkan situasi itu berleluasa. Apalagi ketika kita melihat yang melakukan itu adalah instafamous, selebriti mahupun artis yang mana model atau sikap yang ditonjolkan mereka sangat mempengaruhi kehidupan masyarakat pada hari ini.

 

Jika sesuatu perkara itu baik, tentu saja ia memberikan saham yang membahagiakan. Namun jika sebaliknya, ia boleh menjadi bahana yang tersangatlah teruk kepada masyarakat, apatah lagi kepada mereka yang sangat fanatik dengan yang yang diidolakan itu.

 

Realitinya, mereka yang menjadi ikutan dan tumpuan ini seharusnya mempamerkan kebaikan kerana mereka mempunyai ‘follower’ yang melaluinya boleh menjadi jariah kebaikan yang berpanjangan atau sebaliknya.

 

Kenapa begitu?

 

Lihat sahajalah jika sesuatu kebaikan yang dilakukan mereka itu diikuti oleh masyarakat, maka bergandalah saham kebaikan yang diterimanya. Namun, ketika sesuatu yang buruk atau tepatnya menyalahi had (hukum) Allah dan Rasul-Nya, maka ganjaran apakah yang akan didapatkan selain dosa yang berpanjangan? Naudzubillah.

 

Memang tiada siapa yang dapat menghalang tercetusnya sesuatu fenomena dalam masyarakat ini. Namun, mereka yang menjadi ‘ikutan’ itu boleh saja mempamerkan watak yang baik agar pengikutnya melakukan sebagaimana yang ia lakukan itu.

 

Dalam satu sisi yang lain sebagaimana kata pensyarah Open University Malaysia (OUM), Dr Hamidah Mat:

“Pada sudut yang lain pula, masyarakat umumnya seolah-olah dahagakan contoh dan panduan, ‘craving for example in life’, tercari-cari kehidupan yang bagaimanakah perlu diikuti. Yang paling mudah ialah apa yang ditunjukkan oleh para selebriti ini, tidak kira selebriti dalam apa juga bidangnya.”

 

Ujar beliau lagi, kiblat yang tercipta tanpa diminta ini telah menjadi tumpuan dan penghukum kepada hampir segala aspek kehidupan manusia. Maka, berhati-hatilah kita.

 

“Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah apabila hal-hal berkaitan dosa dan pahala juga ditentukan oleh aktiviti mereka yang dipaparkan oleh para selebriti itu itu. Sepertinya, tumpuan masyarakat pada hari ini sangat didominasi oleh tindakan-tindakan golongan itu.”

 

Menurutnya lagi, barangkali disebabkan kelompongan-kelompongan harapan yang ada dalam masyarakat, menjadikan mereka kecewa dengan perkembangan-perkembangan terkini tanah air yang tidak mengujakan, maka perkara-perkara remeh tentang kehidupan orang lain yang menjadi topik tumpuan dan perbualan.

 

“Pepatah Inggeris ada mengatakan “What you focus will grow.” Maka fikirkanlah!”

 

Sebenarnya, sampai bila mereka yang ahlinya akan bersuara menegur golongan sebegitu daripada terus menyebarkan sesuatu yang bukan selayaknya? Lihat saja tentang pahala percuma itu, kerana seorang ‘selebriti dakwah’ yang kata, maka diiakan oleh mereka yang mengikutinya.

 

Bukan untuk menidakkan kata-kata itu, namun sekiranya kita membuka ruang yang seluas-luasnya bagi orang lain mengatakan kesalahan yang telah diperbuat tanpa merasa bersalah, boleh jadi ia akan mendatangkan sesuatu yang sebaliknya.

 

Adillah dalam mengenakan hukuman!

 

Suara-suara rakyat marhaen masih panas, bukan kerana dengki. Tetapi ia lebih kepada ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat di negara ini, sekarang ini. Segalanya penuh dengan keterikatan SOP, namun apabila di pihak golongan tertentu, semua itu dilanggarnya.

 

Apabila golongan ‘have-have’, boleh saja melepasi segala SOP yang ditetapkan pihak kerajaan. Namun, apabila rakyat marhaen melakukannya, laju sahaja dikenakan tindakan bahkan hukuman yang sepertinya tidak masuk akal.

 

Teringat saya dengan penulisan semalam yang bertajuk ‘Pandemik membarah di negara Bollywood’, sebagaimana kata ketua saintis di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Sumiya Swaminathan:

 

“Virus ini tidak mengenal batas, kewarganegaraan, usia, jantina atau agama serta apa yang berlaku sekarang di India, sayangnya telah merebak di negara lain.”

 

Jadi, pihak kerajaan sewajarnya janganlah mewujudkan ‘kasta’ dalam usaha memerangi pandemik yang hebat melanda dunia ini.

 

Boleh jadi ada benarnya tanggapan bahawa zaman ini semuanya perlu menjadi ‘orang kayangan’ untuk terlepas daripada belenggu yang dicipta pihak tersebut hingga mencengkam rasa di hati umat. Ketika menjadi rakyat bawahan apalagi tidak memiliki apa-apa keistimewaan, maka penindasan itulah dikenakan dengan sewenang-wenangnya.

 

Siapa lagi yang seharusnya prihatin akan semua ini?

 

Peka dan prihatinlah kita

 

Bukankah Ramadan yang kita lalui ini, sepatutnya menjadikan kita hamba-Nya yang berbelas ihsan kepada yang lainnya? Tetapi situasi itu tidaklah demikian hinggakan suara-suara kesal daripada peminatnya tidak dapat dibendung lagi.

 

Seperti kata Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustaz Dr Haji Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam Bicara Bina Negara (BBN-10) yang lalu:

 

“Umat Islam perlu berubah menjadi anggota masyarakat yang peka dan prihatin tentang perkembangan negara dan dunia dengan semangat yang dibawa pada bulan Ramadan dan menerusi semangat Ramadan ini, kita perlu berubah menjadi anggota masyarakat yang peka dan prihatin tentang perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku dalam negara di tengah-tengah umat Islam dan dunia.”

 

Jangan kita sebagai masyarakat yang tahu dan faham terus berdiam. Tegur dan perbaikilah walaupun tidak dengan tangan (kuasa), maka marilah sama-sama kita usahakan dengan mencegahnya dengan lisan.

 

Sebagaimana hadis Rasulullah SAW tentang mengambil berat antara satu sama lain, antaranya:

 

“Barang siapa melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tangannya, kalaulah ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya, kalau ia tidak mampu dengan kata-kata, maka ubahlah dengan kebencian hati. Dan itulah ia selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

 

Hayati dan fahamilah hadis itu agar kita menjadi manusia yang sentiasa bermuhasabah daripada terus mempercayai dan mengikut apa yang mereka lakukan tanpa asas.

 

Muhasabahlah.

 

Sudah berapa tahun usia kita.. Takkan selamanya nak dengan selemah-lemah iman itu?

Read 290 times Last modified on Thursday, 06 May 2021 16:07

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd