wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 13 ذو القعدة 1442   |   Tuesday 22 June 2021
Thursday, 13 May 2021 12:15

Tiada pecutan terakhir

Written by Hayatkaza
Rate this item
(1 Vote)

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahi al-Hamd.

Berlalu sudah 30 hari Ramadan, yang telah Allah hadiahkan buat kita semua; 30 hari yang setiap satu harinya merupakan ruang dan peluang terindah untuk setiap daripada kita berhabis baik dalam beramal.

 

Ramadan sering dikait-rapatkan dengan konsep larian. Secara umumnya, larian mempunyai dua jenis kategori iaitu larian berjarak pendek dan larian berjarak panjang. Biar jaraknya pendek mahupun panjang, setiap jenis larian itu ada konsep pecutnya.

 

Bagi larian berjarak pendek, pecutan harus dilakukan seawal memulakan larian sehinggalah ke garisan penamat. Bagi larian berjarak panjang pula, pecutan berkadar paling tinggi biasanya dilakukan di bahagian-bahagian terakhir larian. Kedua-duanya dilakukan dengan obsesi yang jelas iaitu bagi menamatkan larian yang diketahui di mana garis penamatnya.

 

Ramadan yang sering dikaitkan dengan konsep larian, tidak lari jauh dengan istilah pecutan terakhir. Bagi mereka yang meletakkan Ramadan ini sebagai permulaan kepada sebuah larian, sepatutnya tidak ada istilah pecutan di penghujung Ramadan. 

 

30 Ramadan bukan garisan penamat kepada amal-amal baik yang telah kita usahakan untuk bina dan jaga kualiti serta kuantitinya. Demikianlah juga, 1 Syawal bukan permulaan kepada sebuah larian baru.

 

Ramadan dan Syawal adalah sebuah kesinambungan medan larian, yang harus bersambung dari satu bahagian larian kepada bahagian larian yang seterusnya. Begitu juga dengan Syawal dan bulan-bulan yang seterusnya, sehinggalah setiap roh tidak lagi berhimpun dengan jasadnya.

 

Ramadan yang tidak berkesinambungan dengan bulan-bulan yang seterusnya berpotensi besar dalam  menjadikan stamina amal kita melemau dan melemah, seterusnya menyebabkan kita seolah-olah perlu memulakan semula 'larian' dari awal. Stamina mula menurun sedang garisan penamat masih jauh dari saujana mata.

 

Betapa Ramadan telah mengajar dan melatih kita untuk menjaga kestabilan stamina secara berterusan dan berpanjangan. Menjaga kestabilan stamina tidak hanya bergantung kepada usaha sewaktu latihan sebelum memulakan larian (Ramadan), tetapi ia juga berlaku ketika larian sedang dilakukan. 

 

Berbeza kaedahnya mengikut keadaan serta strategi setiap pelari. Pasti akan ada waktunya seorang pelari itu harus memperlahankan kadar kelajuan. Juga pasti ada waktunya, seorang pelari itu harus mempertingkatkan kadar kelajuan. Perlahan atau laju, larian tetap perlu diteruskan tanpa berhenti. 

 

Berhenti akan menyebabkan penurunan stamina secara drastik, sekali gus memerlukan kepada sebuah tenaga besar untuk memulakan kembali larian.

 

Di sinilah munculnya watak  Istiqamah. Demikianlah, istiqamah itu memainkan peranan yang sangat besar dalam membantu kita menjaga kestabilan stamina dalam berterusan melakukan amal-amal soleh.

 

Tidak dinafikan, pahala yang dijanjikan ketika bulan Ramadan sangatlah berlipat kali ganda. Namun, pahala yang disediakan bagi mereka yang istiqamah, juga pasti tidak kalah besarnya.

 

Orang yang telah meletakkan minda untuk melakukan pecutan terakhir, pasti dia sedang bersedia untuk menamatkan lariannya dalam lingkungan waktu yang terdekat.

 

Untuk sebuah larian yang kita sendiri tidak tahu di manakah garisan penamatnya, tetap teruslah berlari, semoga Allah merahmati dan memberkati!

 

Hayatkaza
1 Syawal 1442H

Read 245 times Last modified on Thursday, 13 May 2021 12:38

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!