Print this page


SERI KEMBANGAN - Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Michael Ryan berkata, setakat ini apa yang ketara adalah jika tekanan tidak diberikan kepada COVID-19, ia akan kembali menular.

“Pandemik COVID-19 tidak menunjukkan tanda-tanda corak bermusim dan pelonggaran sekatan akan menyebabkan lonjakan semula jangkitan,” jelasnya.

 

Beliau berkata, virus ini akan bangkit kembali dan masyarakat dunia perlu teruskan beri tekanan terhadap virus ini.

 

Angka jangkitan COVID-19 di seluruh dunia kini telah mencecah 20 juta kes dengan pertambahan lebih 200,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam, menurut data terbaharu Johns Hopkins University. Jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 kini melebihi 732,000 kes.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan KKM terhadap penggunaan pelindung muka (face shield) sebagai alternatif kepada pengguna pelitup muka bagi pelajar sekolah.

 

Bagi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pemakaian pelindung muka adalah lebih baik walaupun masih tiada bukti ia dapat mengelakkan jangkitan COVID-19.

 

"Lebih baik pakai pelindung muka daripada tidak pakai langsung kerana peralatan itu sekurang-kurangnya dapat memberi perlindungan,” katanya.

 

Sementara itu, pakar perubatan dan dasar kesihatan awam, Dr Khor Swee Kheng berkata, kelalaian dan kealpaan rakyat dalam mematuhi SOP adalah satu masalah rumit untuk diselesaikan kerana normal baharu akan ambil masa yang sangat lama untuk diterapkan.

 

Menurutnya, kerajaan mempunyai insentif atau sebab untuk melabur lebih banyak tenaga dan penyelesaian yang lebih komprehensif untuk menangani masalah tersebut.

 

“Semua pemimpin di Malaysia harus menunjukkan kepimpinan melalui teladan dalam mematuhi SOP dan menjalankan penguatkuasaan undang-undang agar ia tidak menimbulkan keraguan di segenap lapisan masyarakat.”

 

Pengamalan penguatkuasaan undang-undang yang tidak konsisten ini tegasnya, akan melumpuh atau melemahkan perlawanan antara COVID dengan kita kerana tiada kepimpinan melalui teladan yang ditunjukkan oleh  kerajaan dan pemimpin Malaysia.

 

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin Malaysia untuk bertindak dengan lebih bertanggungjawab dan menunjukkan teladan yang lebih baik untuk sama-sama melawan COVID-19.

Last modified on Tuesday, 11 August 2020
Our website is protected by DMC Firewall!