Print this page

SERI KEMBANGAN - Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata bahawa penurunan nilai R-Naught (R0) itu tidak memberi indikasi bahawa kes positif COVID-19 dijangka menurun.

“Penularan COVID-19 juga jelasnya bergantung kepada faktor di lapangan termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh masyarakat setempat.”

 

Menurutnya, nilai R-Naught semata-mata bukan indikasi untuk menunjukkan pada masa sekarang dan akan datang adakah jangkaan kes akan menurun, ia tidak semestinya sedemikian.

 

“Banyak keadaan lain menyumbang faktor kes berlaku di lapangan. Jadi nilai R-Naught itu memberikan makluman bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah bertepatan.”

 

Dalam pada itu, penurunan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-Naught (R0) daripada 2.2 kepada 1.1 di negara ini memberi sedikit kelegaan kepada petugas barisan hadapan dan masyarakat.

 

“Tetapi bagi kita di peringkat masyarakat pula, seharusnya kena teruskan langkah-langkah SOP, kita tidak boleh kata apabila R-Naught itu dah turun, kita melonggarkan langkah keselamatan dan SOP. Itu adalah langkah tidak tepat, kita perlu terus serius untuk patuh SOP dan patuh apa yang dimaklumkan pihak KKM," ujar Dr Malina.

 

Beliau berkata, tindakan agresif oleh pasukan petugas barisan hadapan terutamanya KKM amat bertepatan dalam kejayaan menurunkan nilai R-Naught daripada 2.2 kepada 1.1 ketika ini.

 

“Malah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sesuatu kawasan penularan COVID-19 adalah langkah terbaik kerajaan dalam membendung penularan COVID-19 dan wajar mendapat sokongan berterusan rakyat.

 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menamakan kluster jangkitan COVID-19 di sesuatu kawasan dengan nama lokasi sebenar penularan direkodkan, bukan dengan meletakkan nama samaran bagi mengelak daripada pengetahuan masyarakat.

 

“Tindakan itu dapat memberi pengetahuan dan rujukan kepada masyarakat untuk lebih berhati-hati daripada terkena jangkitan COVID-19 jika berada di kawasan kluster berkenaan dan saya berpendapat dalam keadaan sekarang ini, Kementerian (KKM) boleh membezakan antara data perlu dirahsiakan dan apakah data-data yang perlu dimaklumkan kepada masyarakat.”

 

Namun dari segi kesihatan awam, beliau berpendapat bahawa data-data yang perlu dikongsi masyarakat terutama untuk memaklumkan risiko mereka dalam mendapat sesuatu jangkitan perlu dimaklumkan.

 

"Jadi saya tidak nampak alasan mengapa KKM perlu gunakan nama samaran dan nama tidak jelas terhadap kluster-kluster yang berlaku. Bagi saya, tidak menjadi sesuatu merbahaya jika kita menyatakan sebenar nama kluster dan lokasi sebenar.”

 

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan supaya KKM tidak lagi menggunakan nama samaran, tetapi gunakanlah nama sebenar untuk memberikan lebih kefahaman kepada masyarakat.

 

Sehingga kini, COVID-19 telah meragut hampir 1.2 juta nyawa dan menjangkiti lebih 46 juta orang di seluruh dunia sejak ia muncul di China pada penghujung tahun lalu.

Last modified on Monday, 02 November 2020
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd