Print this page

 

SERI KEMBANGAN - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 93,309 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 15,563 kes dan sebanyak 1,340 kes baharu direkodkan semalam.

“Negeri Selangor kekal mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 441 kes dalam tempoh 24 jam lalu.”

 

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala tiga kluster baharu dikesan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Sabah dan Johor.

 

“Selepas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kes harian baharu sebanyak 284 kes dan diikuti Sabah dengan 196 kes, seterusnya Johor yang mencatatkan 156 kes baharu semalam,” jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Berikutan itu, 134 kes atau 10 peratus daripada kes baharu melibatkan kluster di penjara dan depot tahanan Imigresen iaitu Kluster Penjara Jalan Harapan di Selangor dengan 58 kes, Kluster Tembok Gajah, Johor (56 kes), Kluster Tembok, Kedah (10 kes), Kluster Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang (lapan kes) dan Kluster Penjara Kepayan, Sabah (dua kes).

 

“Sebanyak 1,067 kes sembuh yang menjadikan jumlah kumulatif kes discaj sebanyak 77,309 atau 82.9 peratus dari keseluruhan kes.”

 

Terdahulu, pertambahan empat kes kematian dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia sebanyak 437 kes dan sebanyak 116 kes dirawat di ICU dengan 57 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

 

Dalam perkembangan lain, pada Jumaat, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah yang tamat Ahad ini dilanjutkan sehingga 31 Disember.

 

“Keputusan itu dibuat berikutan peningkatan ketara kes positif COVID-19 yang direkodkan iaitu sebanyak 22,931 kes positif COVID-19 direkodkan di Selangor, manakala 9,426 kes bagi Kuala Lumpur pada Khamis.”

 

Menurutnya, atas penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPB di kedua-dua negeri berkenaan.

 

“Bagaimanapun, perlanjutan PKPB dikecualikan di Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.”

Last modified on Monday, 21 December 2020
DMC Firewall is a Joomla Security extension!