Print this page


SERI KEMBANGAN - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Profesor Dr Omar Yaakob menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menggunakan pendekatan menggalakkan seboleh-bolehnya Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dilaksanakan secara bersemuka.

Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menurutnya tidak terjamin bagi kumpulan murid yang tidak menghadapi masalah gajet dan Internet, apalagi bagi kumpulan yang menghadapi masalah ketiadaan gajet dan Internet.

 

Tambahnya, pengajaran dan pembelajaran melalui atas talian dan juga melalui TV tidak boleh menggantikan kaedah interaksi bersemuka antara guru dan murid, terutama bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.

 

“Saya mengambil maklum laporan yang menyebutkan kaji selidik NUTP mendapati 93 peratus guru memilih kaedah proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

 

Selain itu jelasnya, langkah-langkah inovatif untuk memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) tetap dapat dilaksanakan kepada sebanyak mungkin murid  dengan selamat.

 

“PdP bersemuka perlu dilaksanakan bukan hanya untuk kelas peperiksaan tetapi juga untuk semua kelas dengan kaedah bergilir-gilir (staggered schooling)  di mana murid dibenarkan hadir ke sekolah secara bergilir,” kata Dr Omar.

 

Sebagai contoh yang diberikannya, Tahun 5 dan 6 pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat manakala Tahun 1, 2, 3 pada hari Selasa dan Khamis sehingga keadaan benar-benar pulih.  Giliran juga boleh dibuat mengikut minggu.

 

“Pendekatan berbeza perlu diusahakan bagi kawasan yang berbeza. Autonomi wajar diberikan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, dengan nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah untuk membuat pengubahsuaian proses Pendidikan, pengurusan kurikulum dan PdP,” jelasnya.

 

Beliau menambah, llokasi dan keadaan setiap sekolah adalah berbeza, contohnya ada sekolah yang berada di kawasan zon merah sewaktu PKP dan ada yang berada di kampung yang tiada kes jangkitan Covid-19.

 

Dengan ini menurutnya, sekolah dapat diuruskan dengan lebih optimum dengan mengambil pendekatan yang sesuai berdasarkan keadaan setempat.

 

“Keadaan PKP telah mengubah serta memendekkan waktu pengajaran dan pembelajaran atau instruction time bagi setiap subjek dan memberi kesan berbeza antara individu murid.”

 

Justeru, bagi membantu guru menguruskan pembelajaran setiap murid secara optimum, pengajaran fleksibel (flexible teaching) perlulah dilaksanakan.

 

“Ini bermaksud, sukatan pelajaran dilaksanakan mengikut kemampuan murid tanpa perlu menghabiskannya mengikut tahun.”

 

“Maka learning pathway setiap murid dapat dirangka dengan mengadaptasikan kadar pelaksanaan sukatan mengikut kemampuan murid berkenaan dan Project Based Learning dan Jadual Anjal juga harus terus dilaksanakan dengan lebih berkesan.”

 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjangkakan bahawa pandemik Covid-19 akan berlarutan dan sesi persekolahan pula mengambil masa untuk pulih seperti sediakala.

 

“Untuk memenuhi keperluan pembelajaran, kami mencadangkan pihak KPM mengubah suai masa instruksional kerana adalah sukar bagi sekolah-sekolah menyusun kembali hari persekolahan untuk mengganti sepenuhnya hari sekolah ditutup sewaktu PKP.”

 

Beliau juga menyeru agar KPM mengambil langkah meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa serta menggalakkan mereka untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam aktiviti pembelajaran anak- anak.

Last modified on Friday, 29 January 2021
Our website is protected by DMC Firewall!