Print this page

SERI KEMBANGAN - Setiap tahun sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa (HBIA) disambut pada 21 Februari. Tema bagi tahun 2021 ialah ‘Bahasa Tanpa Sempadan, Memupuk Berbilang Bahasa Untuk Dirangkumkan ke Dalam Pendidikan dan Masyarakat.’

“Tarikh ini menjadi lebih penting dan bermakna bagi semua orang di seluruh dunia kerana tarikh ini meraikan semua bahasa ibunda yang ada di dunia,” kata Pengarah Program HBIA 2021, En Tan Soon Lim.

 

Selain itu, bahasa menggambarkan budaya, tradisi dan disiplin pelbagai bangsa yang terdapat di seluruh dunia sebagaimana beliau memetik kata-kata Nelson Mandela, "Jika anda bercakap dengan manusia dalam bahasa yang beliau fahami, beliau akan menyimpan isi percakapan anda dalam kepala. Jika anda bercakap dengan beliau dalam bahasa ibundanya, beliau akan menyimpan isi percakapan anda dalam hatinya".

 

“Jika kita tidak melindungi dan memelihara bahasa ibunda kita seperti yang ada sekarang, bahasa akan hilang ditelan masa seperti beberapa bahasa yang telah pun lenyap ditelan zaman,” tambahnya.

 

Menurutnya ketika sesi sidang media sambutan yang diadakan secara dalam talian hari ini, adalah menjadi tugas semua, bukan sahaja untuk melindungi dan memelihara bahasa kita sendiri tetapi menghormati semua bahasa lain di dunia.

 

“Setiap bahasa ibunda adalah sangat kaya dengan kebaikannya yang tersendiri dan mewujudkan kepelbagaian budaya, tradisi, nilai-nilai, disiplin dalam diaspora manusia,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, tujuan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa diadakan bertujuan mempromosikan kepelbagaian linguistik dan budaya serta menggalakkan penggunaan bahasa untuk memelihara warisan dan budaya.

 

Sambutan ini telah dicetuskan oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) untuk mempromosikan penyebaran bahasa ibunda dan kesedaran sepenuhnya mengenai tradisi linguistik dan budaya di seluruh dunia serta memberi inspirasi kepada perpaduan berdasarkan pemahaman, toleransi dan dialog.

 

Pada tahun yang kesebelas sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa ini, beberapa NGO telah bersepakat untuk menganjurkan sambutan ini pada 21 Februari 2021, Ahad, dari jam 10.00 pagi hingga 11.20 tengah hari dengan siaran secara langsung di laman Facebook ‘Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2021’.

 

Turut bersama dalam penganjuran yang akan diadakan ialah Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Tamil Foundation Malaysia (TFM), Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Persekutuan Persatuan- Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan NGO-NGO lain serta rakan strategik.

 

Berikutan wabak Covid-19 yang melanda, pihak penganjur telah merancang untuk menyambut HBIA 2021 dengan sedikit kelainan daripada tahun-tahun sebelumnya.

 

Antara aktiviti yang akan dianjurkan pada tahun ini ialah:

1. Ucapan khas oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, HE Mr Md Golam Sarwar
2. Persembahan khas oleh orang Asli dari Selangor dan Orang Asal dari Sarawak dan Sabah
3. Acara persembahan kebudayaan
4. Projek penggambaran video pendek HBIA 2021 
5. Pertandingan Melukis dan Menulis Esei
6. Forum Belia

 

“Kami berharap acara sambutan HBIA 2021 akan berjaya menarik kehadiran yang lebih menggalakkan pada tahun ini daripada masyarakat,” ujar Soon Lim.

 

Beliau juga turut menyeru semua pelajar, belia, pelajar kolej, organisasi-organisasi dan masyarakat umum untuk hadir memperingati sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa ini.

 

“Marilah kita bersama meraikan bahasa ibunda kita.”

 

Turut hadir dalam sidang media hari ini ialah wakil-wakil penganjur iaitu Puan Usharani Sarkunavalu dan Encik Yuva (Tamil Foundation), Puan Mei Sha (LLG), Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor (IKRAM) dan Encik Yusri Ahon (JOAS) serta organisasi bersama yang lain.

Last modified on Friday, 05 February 2021
DMC Firewall is a Joomla Security extension!