wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 3 رمضان 1442   |   Wednesday 14 April 2021


SERI KEMBANGAN - Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Sinar Harian telah menganjurkan Bicara Bina Negara yang bertajuk ‘Hapuskan Rantaian RASUAH’ yang telah berlangsung secara maya hari ini.

Bicara ini menampilkan Presiden IKRAM, Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad dan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub bersama moderator yang merupakan personaliti TV, Amin Idris.

 

“Pendirian IKRAM jelas, kalau kita hendak bangunkan negara yang bagus, jadi rakyat perlu dibangunkan dulu. Nabi Salallahualaihiwasallam sebutkan, akhlak yang bagus ini ialah golongan yang memberi manfaat kepada orang lain, bukan memberi kemudaratan,” ujar Dr Mohd Parid.

 

Beliau berkata, kita sebagai umat Islam telah diajar menjauhkan diri daripada melakukan kejahatan dan kerosakan, apatah lagi rasuah ini adalah perbuatan yang haram.

 

“Kita perlu tolak dan tentang terus (rasuah). Ini kita bertindak, ambil inisiatif berdasarkan iman. Kita imani perkara itu,” tegasnya.

 

Tambahnya, perkara yang haram itu jangan dibuat sebab ia membawa malapetaka. Perkara maksiat, perkara haram jika dilakukan akan menjemput bencana; bencana kepada peribadi, bencana kepada keluarga.

 

“Ingat orang yang ambil rasuah, keluarganya senang ke? Tidak. Walaupun duit dia banyak tapi ia tidak bahagia, sedangkan ia berterusan membuat dosa.”

 

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sudah tujuh tahun beliau memulakan gerakan ‘Quran-kan’ bangsa, mengislahkan ummah.

 

“Kerana kami melihat kualiti moral bangsa, kualiti cara beragama itu, dari segi fizikal memang bagus. Masjid semakin besar, namun orang kita paling kuat menipu, janji tidak tepati, hutang tidak bayar, rasuah berleluasa,” ujarnya ketika memulakan bicara.

 

Menurutnya, cara untuk membetulkan hidup orang Islam adalah dengan menukar sistem operasi mereka dengan sistem operasi al-Quran. Ia perlu ada mindset 'Quranic operating system'.

 

“Kita boleh lihat, cara orang dulu belajar al-Quran dengan hafal saja. Dia mengaji saja, tapi dia tidak faham. Bila dia tidak faham, dia akan tengok apa yang orang buat di sekelilingnya.”

 

Tambahnya lagi, itulah yang menyebabkan kadang-kadang apabila mereka melihat pemimpinnya, mereka akan ikut.

 

“Tapi sekarang bila saya tengok keadaan negara kita terutama masa Covid-19 ini, orang semakin susah,” tegasnya.

 

“Semua masalah itu akan timbul dan kita tengok, bila keadaan politik, bila mula orang 'jual beli' dan 'pindah-pindah', saya rasa itu dah sampai satu tahap kemuncak.”

 

Sebelumnya pada 26 Februari lalu, melalui kenyataannya, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memutuskan bahawa Mac 2021 adalah Bulan Kempen Anti Rasuah.

 

Pada bulan ini, pelbagai usaha dan inisiatif akan dilaksanakan dalam usaha memerangi rasuah.

 

Tindakan ini adalah sebagai sokongan yang padu kepada usaha Dato' Hussamuddin yang telah melancarkan gerakan Rasuah Busters.

 

Dalam pada itu, di peringkat IKRAM, usaha ini sedang digerakkan oleh Pasukan Petugas Masyarakat Progresif dalam inisiatif Advokasi Nasional.

 

Pelbagai aktiviti yang sedang dan akan diadakan sepanjang bulan Mac 2021 antaranya webinar Bicara Bina Negara, wacana berkaitan rasuah, pertandingan filem pendek, pertandingan menulis dan banyak lagi.

Last modified on Monday, 01 March 2021

Leave a comment

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!