Print this page

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Haji Badlishah Sham Baharin berkata, IKRAM menyokong kempen Rasuah Busters yang digerakkan oleh Sinar Harian.

"Kami merasakan kempen ini boleh membawa perubahan dalam masyarakat terutamanya dengan sistem nilai."

 

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sidang media pengumuman Pasukan Teras Rasuah Busters gandingan 15 personaliti dari pelbagai bidang bagi membawa sebuah reformasi moral dan integriti dengan matlamat perjuangan membanteras pandemik rasuah, yang diadakan di kompleks Karangkraf di sini, semalam.

 

"Sebagai sebuah organisasi Islam, sistem nilai ini sangat penting dan kami merasakan ia boleh menjadi game changer dalam masyarakat, kalau boleh kita institusikan pada peribadi setiap orang dalam masyarakat, insya-Allah masyarakat boleh jadi lebih baik."

 

Sebelumnya, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kumpulan hasil inisiatif di bawah kempen Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa itu membariskan para pemikir dan penggerak terdiri daripada warganegara Malaysia berbilang kaum, agama dan pelbagai latar belakang.

 

"Barisan Pasukan Teras Rasuah Busters bertindak dalam penyusunan strategi, pengurusan komunikasi dan gerak kerja serta pembentukan jalinan strategik antara individu dan pelbagai kumpulan dalam kalangan masyarakat."

 

Jelasnya lagi, gabungan itu adalah sebahagian daripada sukarela (coalition of the willing) yang bergandingan dalam kepakaran dan kapasiti masing-masing bagi menyelamatkan negara daripada terus terhumban ke lembah kehancuran akibat amalan rasuah yang tidak dibendung.

 

"Pasukan Teras Rasuah Busters turut menjalankan pelbagai usaha bagi memastikan impak keberhasilan gerakan #RasuahBusters berupaya mencapai segmen masyarakat di seluruh peringkat ekosistem multietnik dan multibudaya Malaysia," katanya yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters.

 

Beliau berharap gabungan yang bertindak secara efisien ini diharap dapat melakukan transformasi sistem nilai dalam konteks negara ini secara harmoni berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

 

"Kita juga berusaha dalam bentuk kerangka yang lebih besar untuk membantu negara melalui proses dan struktur penting yang mendatangkan impak jangka masa panjang."

 

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Sekteriat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, Rasuah Busters adalah satu gerakan yang sangat-sangat penting dari rakyat kepada rakyat untuk bersama-sama membasmi dan membanteras penyalahgunaan kuasa dan sebarang bentuk rasuah yang berlaku dalam masyarakat kita terutamanya di Malaysia.

 

"Saya tegaskan hari ini dan ingin berkongsi dengan semua. Kita mempunyai peringkat-peringkat dan ekosistem kita hendak bentuk bermula dalam diri kita sendiri, membawa kepada keluarga, komuniti. Ini adalah budaya yang sudah diserapkan, sudah diterima masuk, ke dalam diri dan organisasi. Jadi apa yang patut kita lakukan?"

 

Beliau membawa contoh iaitu awareness (kesedaran) dengan mengetengahkan kempen 'Mak kata Jangan'.

 

"Ramai juga yang tertanya-tanya, kenapa mak kata jangan? Banyak maklum balas yang kami terima daripada pelbagai pihak kenapa kita tidak terus kepada agama, contohnya. Tetapi ada sesuatu yang sangat menyentuh setiap kita sekali pun tidak mempunyai kepercayaan agama," terangnya lagi.

 

Menurutnya, setiap anak yang dilahirkan oleh ibu, mendengar segala pesanan ibu, mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan rasuah.

 

"Adakah sanggup setiap daripada kita, balik dan menyuapkan najis ke mulut anak, iaitu najis rasuah?" soalnya kepada hadirin.

 

Jelasnya lagi, itulah yang cuba Rasuah Busters bawakan, kerana awareness (kesedaran) ini.

 

"Kalau kita tak gerakkan walaupun kita ingin buat perubahan, reformation of structure system dalam negara kita, tiada awareness (kesedaran) memasukkan system value, ini semua akan menjadi sia-sia," tegasnya.

 

Pada Mac lalu, IKRAM juga turut menggerakkan Bulan Kempen Anti Rasuah bagi menyahut seruan yang dilaksanakan oleh Rasuah Busters Sinar Harian ini.

Last modified on Tuesday, 06 April 2021
DMC Firewall is a Joomla Security extension!