wrapper

Berita Terkini

السبت 22 ذو الحجّة 1442   |   Sunday 01 August 2021

SERI KEMBANGAN - Perjuangan membela Palestin bukan perjuangan umat Islam sahaja, kerana ia adalah isu kemanusiaan yang menyentuh nilai manusiawi semua, kata Naib Presiden IKRAM, Hj Shahrul Aman Mohd Saari.

Beliau berkata demikian dalam ucapan mewakili Presiden IKRAM pada majlis 'Malam Palestin Di Hati' secara maya anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama MyCARE, Rose2Rose, IKRAM Musleh, KRS Musleh dan IKRAM Academia pada Ahad.

 

Majlis maya itu turut mendapat kerjasama Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (Malaysia), BDS Malaysia, Persatuan Belia Harmoni dan International Development & Politics IKRAM UK & Eire (IDP).

 

"Semua orang yang mempunyai hati perlu mengambil cakna dan bertindak apabila melihat musibah dan kebobrokan terhadap sesuatu kaum, bangsa itu berlaku dalam keadaan begitu melampau sekali," tegasnya.

 

Menurutnya, sepanjang Kempen Palestin Di Hati yang dianjurkan, beliau melihat ramai yang melakukan aktiviti, memberikan sumbangan dari segi masa, tenaga, dukungan dan sebagainya dengan cara yang kreatif sekali, yang dirasakan sangat penting untuk membantu rakyat di sana.

 

"Walaupun dalam keadaan darurat, walaupun dalam keadaan PKP, alhamdulillah rakyat Malaysia, ahli IKRAM dan rakan-rakan NGO yang lain tidak menjadikan ini sebagai alasan untuk tidak membuat apa-apa," ujarnya.

 

Tambahnya, IKRAM sendiri telah menggerakkan sekurang-kurangnya 25 pasukan khas untuk kempen Palestin Di Hati yang berlangsung selama sebulan.

 

"Walaupun berlaku gencatan senjata pada 21 Mei 2021, akan tetapi kita harus sedar bahawa telah ramai yang terkorban (230 orang)termasuk wanita dan kanak-kanak, lebih 14,000 rumah telah rosak ataupun dimusnahkan, 120,000 orang yang telah terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan senarainya bersambung-sambung."

 

Shahrul Aman yang juga Pengarah Kempen menyeru kepada semua ahli IKRAM, rakan-rakan dan seluruh rakyat Malaysia untuk memainkan peranan dan meneruskan usaha untuk membantu dan membebaskan Palestin.

 

"Perbualan nasional, perbualan global berkenaan Palestin, pendedahan berkenaan Palestin tidak boleh berhenti."

 

Selain mengumpul sumbangan untuk Palestin lebih RM5.5 juta melalui MyCARE sepanjang kempen, banyak aktiviti yang digerakkan antaranya ceramah, forum, senamrobik, Global Ride to Palestine, Skipping for Palestine, Misi DTIYS 5000 IKRAMTeens, Virtual Run, pertandingan, kolaj plakad Palestin dan sebagainya.

 

Menurut beliau, pihak penganjur menerima sambutan yang amat baik oleh pelbagai pihak daripada ahli IKRAM, tadika, sekolah, universiti termasuk orang ramai dalam kempen kolaj bersama plakad Palestin.

 

"Memang sangat banyak, sangat mengkagumkan. Jika diikut dari segi penyertaan yang kami terima, saya kira sudah sampai 10,000 atau lebih (kolaj)."

 

Majlis itu turut diserikan dengan ucapan wirawati Women's Boat to Gaza, Dr Fauziah Mohd Hasan, perkongsian tiga wakil Palestin iaitu Dr Ziad Shehada, Dr Said al-Ghoura dan Abeer Barakat serta Teo Ann Siang dan Krishna Kumar yang mewakili komuniti Cina dan India.

 

Menurut Dr Ziad yang juga Pengurus Besar MyCARE Gaza, ketika perang berlaku, banyak bangunan roboh di sekitar rumahnya akibat dibom yang menyebabkan beliau terpaksa membawa keluarganya ke kawasan lain apabila keluar bekerja.

 

Tambahnya, perkara terburuk yang beliau hadapi semasa perang adalah ketika melihat ambulans di Hospital Asy-Syifa' dipenuhi dengan darah.

 

"Saya banyak menangis dan kadang-kadang merasa kecewa, tetapi alhamdulillah Allah memberi kita kekuatan. Keadaan masih sukar di Gaza," ujarnya.

 

Tambahnya, MyCARE melakukan tugas dengan baik semasa perang dan sedang mengusahakan banyak projek dalam pelbagai aspek di bawah Dana Kecemasan.

 

"Sekarang kami di MyCARE mempunyai projek untuk membantu sektor kesihatan dengan bekerjasama Kementerian Kesihatan di Gaza."

 

"Kami mengagihkan wang tunai (dan bantuan) kepada orang-orang yang cedera dan yang rumah mereka musnah sebahagian atau keseluruhannya," tambahnya, selain bersiap sedia dengan konvoi mengedarkan makanan untuk semua yang terjejas akibat perang.

 

Katanya, MyCARE berfungsi di mana-mana di seluruh Gaza dalam kategori bantuan yang berbeza sehingga ramai rakyat Palestin dapat merasakan sumbangan dan bantuan rakyat Malaysia.

 

"Akhirnya kami memerlukan doa anda, memerlukan sumbangan anda, memerlukan anda untuk meningkatkan keceriaan di kalangan masyarakat Palestin," ujarnya.

 

Malam Palestin Di Hati yang dihoskan oleh Anwar Afiq diakhiri dengan montaj kempen dan video terima kasih Palestin kepada Malaysia dalam bentuk ukiran pasir di Pantai Gaza (https://fb.watch/6g0bjBym0u/).

Last modified on Monday, 21 June 2021

Leave a comment

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!