wrapper

Berita Terkini

الخميس 19 ذو القعدة 1441   |   Thursday 09 July 2020
Sunday, 21 June 2020 08:09

Bapaku Pemimpin, Keluarga Sejahtera

Rate this item
(0 votes)

Kenyataan Media
Sambutan Hari Bapa 2020
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
21 Jun 2020M / 29 Syawal 1441H

BAPAKU PEMIMPIN, KELUARGA SEJAHTERA

Kepimpinan menyentuh bagaimana seseorang memberi impak kepada kehidupan orang lain atau menginspirasikan seseorang untuk terus mencapai kehebatan mereka.

 

Kepimpinan berkait rapat dengan mempunyai matlamat yang jelas, kedudukan semasa yang jelas berhubung matlamat dan akhirnya mempengaruhi orang lain secara positif yang membolehkan setiap seorang mencapai matlamat masing-masing.

 

Seorang pakar sosiologi, Dr David Popenoe dalam kajiannya mengatakan bahawa seorang bapa bukan sekadar orang dewasa di dalam sebuah rumah, malahan bapa memberikan impak yang besar kepada keperibadian seorang anak.

 

Pepatah Arab, “Al-waladu sirru abiihi” yang bermaksud bahawa seorang anak itu adalah bayangan ayahnya, juga menyatakan betapa pentingnya peranan bapa memimpin dan mencorak keperibadian anak-anak.

 

Dengan itu, bapa bukanlah sekadar di pinggiran sahaja tetapi peranannya adalah amat diperlukan dan merupakan aset yang penting dalam pembangunan keluarganya.

 

Bapa, sesungguhnya dirimu adalah pemimpin, yang akan membawa kepada kesejahteraan keluargamu. Ini amat bertepatan dengan tema sambutan Hari Bapa tahun ini, “Bapaku Pemimpin, Keluarga Sejahtera”.

 

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah An-Nisaa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu pemimpin dan pelindung kepada kaum wanita…”

 

Lelaki itu adalah pengurus wanita, pemimpinnya, ketuanya, yang membimbing dan yang mendidiknya sepanjang masa. Peranan ini boleh diperluaskan kepada peranan lelaki sebagai bapa kepada anak-anaknya.

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melalui kempen Lelaki Hero Keluarga, Pasukan Advokasi Keluarga Rahmahnya berusaha bagi memertabatkan peranan lelaki dalam pembangunan keluarga.

 

Sempena Hari Bapa 2020 ini, kami menyarankan agar semua bapa memainkan peranan memimpin keluarga bagi memberi suasana yang kondusif untuk anak-anak membesar.

 

Berikut adalah kenapa kami merasakan pentingnya bapa kepada anak-anak:

 

1. Gaya ibu berbeza dengan bapa

Komunikasi adalah penting dalam pendidikan anak-anak dan gaya komunikasi seorang bapa adalah berbeza dengan seorang ibu. Bapa itu adalah pelengkap kepada pentarbiahan serta pendidikan anak-anak. Jika ibu tidak berjaya menasihati anaknya, mungkin komunikasi ayah yang berbeza dapat membantu melaksanakannya.

 

2. Bapa boleh membakar semangat anak-anak

Seorang bapa dapat membina jati diri dan keyakinan anaknya. Sebagai contoh, ketika anak belajar menaiki basikal, seorang ibu mungkin takut melepaskan anak di jalan tetapi bapa sebaliknya mampu memberikan semangat serta keyakinan kepada anak-anak untuk berani menaiki basikal.

 

3. Bapa mampu bertegas dalam disiplin

Seorang bapa dengan sifat tegasnya mampu mendisiplinkan anaknya dengan cara yang berbeza. Perbezaan memang perlu dalam beberapa perkara. Berbeza dengan ibu bukan bermakna cara didikan ibu itu berbeza dan tidak bersetuju dengan didikan itu, tetapi ianya saling melengkapi.

 

4. Kepimpinan melalui teladan

Bapa ialah contoh terbaik kepada anak-anak. Cara bapa makan, berpakaian, mencari rezeki akan dicontohi anak. Jika tanpa bapa atau jika bapa mengabaikan peranannya, maka anak-anak tiada rujukan dan panduan. Akibatnya, tempanglah sebuah keluarga dan longgarlah institusi tersebut.

 

5. Pentingnya bapa untuk pertumbuhan sihat anak-anak.

Kajian banyak menunjukkan bahawa keluarga tanpa didikan ayah akan menyumbangkan kepada banyak gejala sosial dalam masyarakat.

Sebaliknya anak-anak yang rapat dengan bapa mereka antara lainnya akan mempunyai IQ yang lebih tinggi, cenderung menjadi yakin dan berani, mendapat keputusan akademik yang lebih baik, kurang masalah tingkah laku di sekolah, anak perempuan jadi bijak menilai lelaki dan 'role model' kepada anak lelaki.

 

Ternyata, peranan bapa adalah amat signifikan dan tidak boleh digantikan oleh ibu.

 

Kepada semua bapa, luangkanlah masa berkualiti bersama anak-anak anda walaupun anda sibuk bekerja. Ada banyak cara yang boleh anda lakukan untuk turut serta dalam menguruskan anak dan melibatkan diri dalam aktiviti harian mereka. Semoga anda tetap menjadi pemimpin dan hero di hati mereka.

 

Bergembiralah menjadi hero keluarga anda!

#LelakiHeroKeluarga

#SelamatHariBapa

 

Hj Nahar Md Nor
Ketua
Advokasi Keluarga Rahmah
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 402 times Last modified on Sunday, 21 June 2020 08:37

1 Comment

  • Comment Link noora Monday, 22 June 2020 08:15 posted by noora

    selamat hari kebapaan.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!