wrapper

Berita Terkini

الإثنين 12 ربيع الثاني 1441   |   Monday 09 December 2019
Wednesday, 20 November 2019 13:58

Multaqa Ulama Asia Tenggara rungkai isu umat Islam serantau

Written by Atriza Umar
Rate this item
(0 votes)


Dengan berlangsungnya Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 (MUAT 19) yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 19 November lalu, sudah tentunya ia adalah untuk membincangkan serta mencari solusi akan isu dan permasalahan yang dihadapi umat Islam masa kini.

Multaqa membawa maksud pertemuan dan percambahan pemikiran itu telah disertai oleh para cendekiawan dan ulama Islam. Justeru, kematangan, keilmuan serta hikmah adalah antara indikator yang seharusnya wujud dalam membincangkan apa jua perkara yang diketengahkan agar mendapat solusi yang rasional lagi jelas buat ummah.

MUAT ‘19 yang bertemakan ‘Wawasan Kemakmuran dan Kedamaian Rahmatan Lil Alamin’ yang berlangsung di Dewan Mentari, Movenpick Convention Centre KLIA, telah menyaksikan semua itu.

Kehadiran para panelis dalam kalangan ulama, asatizah, ilmuan, profesional dan pakar dalam pelbagai bidang pada Multaqa kali ini, membungar dan merancakkan segala isu yang diketengahkan.

Antara menjadi tumpuan utama dalam MUAT ‘19 kali ini ialah isu dan masalah yang membelenggu umat Islam sebagaimana yang dikatakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Dr Muhamad Razak Idris.

Kemakmuran dan keamanan Muslim di rantau ini, menjadi isu tumpuan yang penyelesaiannya perlu disegerakan. Sangat jelas bahawa ulama Malaysia perlu bekerjasama dengan rakan ulama Asia Tenggara untuk membawa konsep Rahmatan Lil Alamin di rantau ini.

Dengan melakukan kerjasama tersebut, ia dapat membantu menangani isu Islamofobia yang terheret dengan radikalisme yang membawa kepada sikap keras kepada agama sehingga menimbukan kebencian antara kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam sidang media selepas merasmikan MUAT’19 menyeru semua menjadikan rantau ini sebagai model dan contoh, bahawa kebobrokan di rantau Timur Tengah, peperangan atas nama Islam sudah tidak lagi relevan untuk jadi model kepada dunia.

Ingatan yang perlu diambil peduli oleh semua ialah agar para ulama tidak menjadi perosak hubungan antara kaum dan masyarakat hingga menyebabkan Islam dipandang serong oleh agama lain. Selain itu, ulama perlulah jujur apabila bercakap serta bersedia untuk mengkritik dan dikritik.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan perasmian penutup MUAT 19 berkata, perbincangan yang mendalam perlu diadakan bagi mengenali dan memahami masalah punca umat Islam kini mengalami tekanan daripada pelbagai pihak dan jika sebab-sebab itu diketahui, tentu penyelesaiannya dapat dicapai.

Bersetuju dengan lontaran Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Bicara Khas bertajuk ‘Ilmuwan Islam dan Visi Nahdah Asia Tenggara’ berkaitan  institusi agama perlu kembali kepada perkara asas, etika dan moral yang sangat berkait rapat dengan tadbir urus yang baik.

Maka, segala isu tadbir urus tersebut perlu dijadikan sebagai sesuatu yang penting untuk diteliti dan dikaji tahap keberkesanannya kerana tanpa tadbir urus yang baik, seluruh sistem berkaitan akan longgar seterusnya terhakis keyakinan terhadap sesebuah institusi agama.

Sangat jelas mengenai tadbir urus yang baik, penting bagi sesebuah institusi agama bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat dan apabila kegagalan tadbir urus berlaku, ia akan menjadi punca kepada permasalahan yang lebih besar termasuk rasuah apalagi salah guna kuasa.

Beliau mengharapkan solusi daripada Multaqa Ulama Asia Tenggara 19 ini dapat direalisasikan dengan sebaiknya, seterusnya dapat menjadi panduan untuk semua menterjemahkan konsep ‘Wawasan Kemakmuran dan Kedamaian Rahmatan Lil Alamin’.

Tujuh solusi yang telah disepakati daripada MUAT ‘19 (sebagaimana yang dikeluarkan YADIM) ini ialah:

PERTAMA: Menjadikan persidangan Multaqa Ulama Asia Tenggara sebagai acara berkala dengan mengesyorkan dilaksanakan secara dwitahunan dan bergilir-gilir dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara. Menerusi acara berkala ini, persidangan ini akan menjadi sebuah wadah dakwah dan keilmuan yang akan mengukuhkan persefahaman dan keselarasan tindakan bagi tujuan kemajuan ummah di Asia Tenggara.

KEDUA: Melestarikan jaringan amal Islami di Asia Tenggara melalui pemerkasaan dan pengembangan fungsi MABIMS* serta penubuhan  Sekretariat Dakwah Asia Tenggara (SDAT) bertujuan bagi mengukuhkan penyelarasan, pengurusan dan rangkaian kolaborasi dalam kalangan ulama, ilmuwan dan para pendakwah Islam di peringkat Asia Tenggara dan diselaraskan oleh YADIM. Dengan tertubuhnya SDAT, gerak kerja amal Islami dalam bentuk peningkatan kefahaman dan pengetahuan baharu dan bakti kesukarelawanan dakwah di peringkat Asia Tenggara akan dapat diperkukuhkan.

KETIGA: Mewujudkan satu gerakan kemakmuran dan kedamaian berasaskan Rahmatan Lil Alamin menerusi pelaksanaan Konvensyen Rahmatan Lil Alamin di peringkat negara-negara Asia Tenggara dalam tempoh tiga (3) tahun akan datang. Penganjuran konvensyen ini secara langsung akan meningkatkan pengumpulan bahan ilmiah dan mengukuhkan pemikiran dan budaya hidup yang lebih inovatif dalam kalangan umat Islam di Asia Tenggara ke arah mewujudkan keamanan sejagat.

KEEMPAT: Menggerakkan usaha dalam mewujudkan satu rangkaian media dakwah Asia Tenggara dengan mengadaptasi semua saluran media termasuk media baharu bagi menerbitkan karya-karya ilmiah berkaitan Rahmatan Lil Alamin secara berkala serta disebarluaskan dalam kalangan negara Asia Tenggara.

KELIMA: Mewujudkan satu gerakan pendidikan Islam peringkat akar umbi dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara bagi meningkatkan tahap kefahaman dan penghayatan agama Islam yang masih lemah dalam kalangan komuniti Muslim. Bagi tujuan tersebut, satu modul khas pendidikan Islam peringkat komuniti perlu dibangunkan.

KEENAM: Membangunkan satu model pendanaan dakwah yang efektif di peringkat Asia Tenggara dengan memanfaatkan instrumen kewangan Islam yang bersesuaian seperti zakat, wakaf dan infak bagi menyokong gerak kerja sosial dakwah yang menyeluruh terutama dalam aspek pendidikan dan kebajikan umat Islam di Asia Tenggara.

KETUJUH: Bersetuju menganjurkan Multaqa Ulama Sedunia 2020 yang akan membincangkan dan mencari langkah penyelesaian isu global terutamanya yang menyentuh isu berkaitan keselamatan sosial dan ekonomi masyarakat Islam yang mengutamakan kehidupan aman dan sejahtera selaras dengan gagasan Rahmatan Lil Alamin.

*MABIMS: Singkatan kepada Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura

Sisi Pandang;
Atriza Umar

 

Read 326 times Last modified on Wednesday, 20 November 2019 16:57

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!