Lawatan Pegawai Pendidikan Brunei - Sekolah Islam Hidayah Johor Bahru
Written by Admin JohorJOHOR BAHRU, 5 Februari 2015 - Satu lawatan kerja telah diadakan oleh pegawai-pegawai Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam ke Pusat Pendidikan Hidayah, Johor Bahru pada 5 Februari 2015. Objektif umum lawatan ini adalah bagi meninjau keberkesanan sistem pentaksiran pelajar yang dilaksanakan di sekolah-sekolah rangkaian IKRAM-MUSLEH. Tujuh orang pegawai daripada Brunei ini telah diketuai oleh Hj Md Yusof Hj Tengah, Pegawai Pelajaran Kanan dan juga turut disertai oleh wakil daripada Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Pn Hajijah bt Hj Moktal. Taklimat, perbincangan dua hala antara kedua belah pihak serta penyampaian cenderahati dan sijil berlangsung pada sesi pagi. Di sebelah petang, para delegasi sempat meninjau program 'Keluarga Penyayang' yang dijalankan dikalangan pelajar Sekolah Islam Hidayah
Di sekitar lawatan kerja pegawai-pegawai Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam ke...
Posted by Ikram Johor on Sunday, 8 February 2015
GELANG PATAH, 5 Oktober 2014 - Sederhana tapi meriah, itulah yang boleh menggambarkan suasana pada Majlis Korban 1435H di Masjid Abu Hurairah, Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang dekat sini. Majlis anjuran jawatankuasa masjid itu dilangsungkan dengan kerjasama daripada Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Daerah Johor Bahru Tengah.
Dalam majlis yang bermula sekitar jam 9.30 pagi itu, tujuh ekor lembu dan dua ekor kambing berjaya dikorbankan dengan dua ekor lembu adalah hasil sumbangan ahli-ahli IKRAM Johor Bahru Tengah yang turut sama bertungkus lumus bergotong-royong bersama masyarakat setempat bagi menjayakan majlis tersebut.
Menurut Yang Dipertua IKRAM Daerah Johor Bahru Tengah, Prof Madya Dr. Mohamed Ruslan Abdullah, masjid ini dipilih sebagai rentetan daripada hubungan yang sedia terjalin melalui program kemasyarakatan IKRAM Johor Bahru Tengah, 'Bingkisan Ramadan' pada bulan Ramadhan yang lalu.
"Program ini merupakan satu pendekatan yang baik untuk mendekatkan IKRAM dengan masyarakat. Terima kasih diucapkan kepada semua yang menyumbang untuk menjayakan majlis pada hari ini", ujar beliau ringkas. Sebelum itu, beliau turut sama berganding bahu dengan penduduk setempat selain sempat menyembelih seekor daripada lembu yang dikorbankan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Abu Hurairah, Encik Ismail Mudah pula melahirkan harapan beliau agar program kerjasama seumpama ini dapat diperbanyakkan lagi di masa-masa akan datang.
"Pihak kami sangat mengalu-alukan kerjasama daripada IKRAM serta pihak-pihak lain untuk melaksanakan program-program seperti ini. Kami berharap supaya masjid ini dapat menjadi pusat rujukan yang boleh menggerakkan masjid-masjid di sekitar kawasan ini agar lebih aktif mendekatkan masyarakat dengan masjid", tambah beliau.
Majlis tersebut diakhiri dengan pengagihan daging korban kepada masyarakat sekitar yang memerlukan. Semoga segala amal diterima sebagai ibadah oleh Allah.
SINGAPURA, 12 September 2014 - Pasukan memanah lelaki Sekolah Rendah Islam Hidayah (SRIH) Johor Bahru menjadi johan kategori berpasukan dalam kejohanan memanah peringkat kebangsaan di Singapura, National Junior Archery Championship 2014 pada Sabtu 12 September lalu di Cedar Primary School. Pasukan SRIH dianggotai Adik Muhammad Irfan Farhan bin Ezaidin, Adik Muhammad bin Rosbi dan Adik Hazrel Idlan bin Hafizal. Lebih membanggakan, Irfan telah berjaya memecahkan rekod Singapura bawah 12 tahun setelah berjaya mengumpul 701 markah untuk dua pusingan untuk jarak 15 meter.
Irfan dinobatkan sebagai johan keseluruhan kategori lelaki 12 tahun sementara Muhammad memenangi tempat ke-3. Pada tahun ini, pasukan memanah lelaki SRIH turut memenangi kejohanan MSSD Johor Bahru dan MSSN Johor di mana Muhammad Irfan Farhan dan Muhammad mewakili Johor di peringkat kebangsaan pada Mac lalu. Tidak kurang hebatnya, pasukan memanah Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH) memenangi kejohanan memanah peringkat MSSD Johor Bahru dan MSSN Johor di mana Muhammad Arieff Haikal bin Ezaidin dan Muhammad Syahmi bin Shahron mewakili Johor dalam kejohanan MSSM peringkat kebangsaan pada Mac lalu.
SRIH dan SMIH juga mengungguli kejohanan memanah di peringkat daerah dan negeri pada tahun 2012 dan 2013. Tahniah kepada semua pasukan memanah SRIH, SMIH, jurulatih memanah Ustaz Ezaidin Norman dan juga warga Hidayah yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas kejayaan yang cemerlang dan membanggakan ini. Teruskan momentum kemenangan ini, insyaa-Allah.
Sumber:
1. http://bit.ly/1s7XCId
2. http://bit.ly/ZratbM
GST: Masyarakat perlu berubah - Prof. Nazari Ismail
Written by Super User
SKUDAI, 23 Ogos 2014 - Masyarakat seharusnya mengubah nilai pandang mereka dalam kehidupan bagi menghadapi keadaan ekonomi pada masa sekarang. Demikian ditegaskan oleh Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail, Dekan, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya dalam satu forum di sini. Forum bertajuk "Memahami GST dan Implikasi Perlaksanaannya" itu turut membariskan Tn. Hj. Azmi Shahid, Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Johor. Forum yang dianjurkan Jawatankuasa Masyarakat Madani, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Negeri Johor itu bermatlamat untuk memberi kefahaman yang mendalam mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kesan selepas perlaksanaannya.
Bercakap di hadapan kira-kira 80 orang hadirin, Dr Nazari menerangkan secara ringkas latar belakang di sebalik perlaksanaan cukai dalam sistem kewangan di Malaysia serta kesannya dalam kehidupan masyarakat. Beliau turut memetik kajian seorang pakar kewangan Islam, Prof Munzir Kahf dari Syria mengenai sumber-sumber pendapatan negara Islam serta beberapa syarat untuk memungut cukai dari sudut pandangan syariah. Walau bagaimanapun, beliau turut mengakui bahawa GST sebagai kaedah terbaik untuk menarik dana kepada kerajaan.
Pengenalan pelbagai jenis cukai sebenarnya tidak mampu menyelesaikan masalah ekonomi pada jangka masa panjang kerana sistem sedia ada sendiri membawa segala masalah yang ada. Adalah tidak adil untuk mengatakan GST sebagai punca kenaikan harga barangan kerana kenaikan itu ditentukan oleh banyak faktor terutamanya sistem riba itu sendiri," ujarnya. Menurutnya lagi, IKRAM perlu mengubah nilai masyarakat seterusnya merubah sistem sedia ada supaya negara menjadi lebih aman, damai dan sejahtera. Sementara itu, Tn. Hj. Azmi pula menjelaskan dengan lengkap struktur cukai baru itu yang bakal dilaksanakan bermula April 2015. Beliau turut menolak anggapan sesetengah pihak yang mengatakan GST akan menyebabkan kenaikan harga barangan secara mendadak.
"Ramai yang mengatakan GST akan menyebabkan kenaikan harga, sebenarnya harga barangan bukan ditentukan oleh faktor cukai semata-mata. Malahan, dengan pengenalan GST, kemungkinan ada barangan yang semakin murah dan ada juga yang semakin mahal atau tidak berubah," ujarnya. Menurutnya lagi, orang ramai yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan GSt sepatutnya lebih mengambil berat kepada penguatkuasaan Akta Anti Pencatutan 2010 bagi mengambil tindakan kepada para peniaga yang mengambil keuntungan yang tidak munasabah."Gunakanlah hak kita sebagai pengguna, itu yang lebih utama," tambahnya lagi. Para hadirin juga tidak melepaskan peluang untuk mengajukan persoalan kepada ahli panel berkaitan cukai tersebut serta pelbagai isu ekonomi negara.
IKRAM Johor
INFO - Pengenalan | Ahli Jawatankuasa | Aktiviti | Hubungi
ORGANISASI - Wanita IKRAM | IKRAM Junior | MyCare Johor | Hidayah Center Johor |
DAERAH - Bandaraya Johor Bahru | Johor Bahru Tengah | Kulai | Pontian | Batu Pahat | Pasir Gudang | Muar | Kluang | Segamat |