Pelancaran Kempen Semarak Ramadhan 1441H IKRAM Sarawak
Written by ikramswkBersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan tahun 2020 kali ini, IKRAM Sarawak telah melancarkan Kempen Semarak Ramadhan 1441H IKRAM Sarawak bagi menyemarakkan sambutan bulan mulia ini. Memandangkan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleh wabak COVID19 yang melanda negara ketika ini, pelancaran tersebut telah diadakan secara maya melalui sesi FB Live pada Rabu 22 April 2020 jam 9.00 malam melalui laman FB rasmi IKRAM Sarawak.
Kempen Semarak Ramadhan oleh IKRAM Sarawak kali ini membawa tema "Ramadhan: Dalam Musibah Amal Bertambah" bersempena dengan situasi wabak COVID19 di mana semua rakyat Malaysia telah terkesan dengan wabak ini serta kerajaan terpaksa melaksanakan perintah Kawalan Pargerakan. Majlis perasmian kempen telah dihoskan oleh saudara Mohd Azrin Mohd Said dan dimulakan dengan bacaan tilawah Al Quran oleh saudara Abdullah Rabbani dan seterusnya pengisian tazkirah oleh saudara Kautsar Ali. Kemuncak majlis pelancaran ialah perutusan Yang DiPertua IKRAM Negeri Sarawak, saudara Abg Mohd Shukri Abg Muis. Di dalam perutusan beliau, Abg Mohd Shukri telah menekankan akan kepentingan mewujudkan suasana Rabbaniyah di dalam keluarga dalam keadaan PKP masakini, di mana ketua keluarga disarankan mempersiapkan ahli keluarga untuk melaksanakan amal ibadah bersama-sama, melazimi tazkirah dan bacaan bahan ilmu, meningkatkan amalan sedekah, dan menyokong usaha-usaha kebaikan. Majlis pelancaran juga telah diserikan dengan nyanyian nasyid oleh belia Harmoni Sarawak dan video khas ucapan ahli IKRAM Sarawak kepada semua pendengar.
Majlis pelancaran seumpama ini merupakan yang julung kali diadakan secara maya bagi mengajak seluruh umat Islam di Sarawak khususnya bersiap sedia menyambut Ramadhan yang istimewa dalam keadaan wabak yang melanda masakini.
Warga IKRAM Sarawak mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan, semoga kita dapat memanfaatkan bulan ini dengan amalan yang terbaik dan diganjarkan kebaikan oleh Allah swt.
Kata Kaunselor: Hikmah di sebalik wabak Covid19
Seluruh dunia termasuk Malaysia dikejutkan dengan kehadiran Covid-19. Sebelum ini, kita hanya mendengar di media wabak ini melanda di China. Macam tidak percaya, malah seluruh dunia digegarkan oleh Covid-19.
Arahan utama dan tegas seperti Covid-19 Stay at Home, Stay Safe sudah dikeluarkan. Namun, ramai yang masih ingkar. Pada permulaan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya berlangsung selama dua minggu. Namun, kerajaan terpaksa menambah tempoh tersebut sehingga 14 April ini. Kini, kita terpaksa disuruh duduk di rumah selama sebulan. Pelbagai perkara berlaku secara drastik dan tidak kurang juga dramatik. Emosi berbaur, ada yang cemas, ada yang menganggap ia dapat digurau senda, ada yang degil, ada yang tergamam dan tidak kurang juga yang tenang dalam keadaan kalut. Itulah kesan daripada makhluk Tuhan dinamakan Covid-19 ini.
Di sebalik musibah Covid-19
Masalah trafik di sempadan Johor-Singapura dan Kuala Lumpur semakin kurang. Harga petrol semakin murah pada RM1.44 seliter. Penggunaan kereta dapat dikurangkan. Jika digunakan untuk perkara penting, baru mahu bergerak. Sehubungan itu, kualiti udara semakin bagus.
Mula memasak
Buku resepi sudah pun mula dibelek-belek, maklumlah, ramai mencari idea memasak untuk dihidangkan kepada keluarga setiap hari. Menariknya, ramai dapat Berjaya membuat roti sendiri, susu pekat sendiri dan tanam tauge sendiri di rumah. Implikasinya, ekonomi mungkin meningkat sebab rakyat membeli sampai licin di pasar raya bagi menyimpan stok di rumah. Namun, arahan dikeluarkan hanya ketua keluarga yang dibenarkan keluar, maka ramai pula suami mula mengenal bahan keperluan asas.
Kes kemalangan jalan raya semakin turun. Suami, isteri dan anak-anak mempunyai banyak masa bersama-sama sambal menonton televisyen. Alhamdulillah, kita diberi kesempatan melaksakan solat lima waktu secara penuh dan amal ibadah banyak dilakukan. Rumah tangga harmoni sebab suami isteri serta anak-anak saling membantu. Syukur!
Jangan lupa golongan kurang bernasib baik
Di sebalik kesukaran yang dihadapi, jangan lupa saling membantu kerana tidak semua bernasib baik akibat kesan Covid-19 berlaku. Di luar sana, ramai keluarga yang terkesan di sebabkan ancaman wabak ini. Sesetengah pihak tidak cukup makan disebabkan mata pencarian tidak dapat dijalankan dan ada yang ibuang kerja. Umpamanya dalam kalangan peniaga, peniagakecil makanan, mereka yang bekerja sendiri dan ketua keluarga yang ramai tanggungan. Golongan pelajar universiti juga tidak kurang terjejas. Semua agama menyarankan penganutnya melakukan amal kebajikan terutama dalam suasana negara ditimpa musibah kritikal akibat Covid-19. Kita selaku rakyat yang bertanggungjawab harus cuba sedaya upaya membantu negara dan menyokong serta mendukung apa-apa yang diarahkan oleh pihak kerajaan. Kita juga digalakkan bersededekah, kerana ini bertepatan pesanan Rasulullah SAW ketika wabak adalah melakukan amal bersedekah, kerana sedekah dapat menolak 70 jenis segala bala bencana.
Selepas ini, kita digalakkan melakukan segala kebaikan yang kita peroleh daripada wabak ini. Terima kasih Covid-19 kerana mendidik kami kembali kepada fitrah kehidupan yang sebenar. Semoga kita terus dipelihara olehTuhan sepanjang kehidupan dengan penuh bertanggungjawab dan merendah hati. Tiada siapa lebih berkuasa, tiada siapa yang lebih kaya dan hebat kecuali-Nya kerana hanya dengan makhluk Allah yang kecil seperti Covid-19 telah dapat menggegar dunia. Itulah pengajaran terbesar daripada Allah swt kepada kita semua!
Sekian, terima kasih dan semoga bermanfaat. Wallahua’lam.
Puan Shamsiah Jayos ialah kaunselor dan merupakan ahli IKRAM Sarawak.
(Artikel ini dipetik dari Sarawak Voice yang diterbitkan pada 4 April 2020)

Kepimpinan baharu Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Sarawak bagi sesi 2020-2022 telah dipilih secara undian pada Majlis Perwakilan Negeri (MPN) yang telah diadakan di Dewan Seminar, Islamic Information Center (IIC) di Kuching pada Ahad, 23 Februari 2020 yang lalu. Majlis Perwakilan Negeri kali ini telah dihadiri oleh lebih 60 orang perwakilan IKRAM dan pemerhati dari seluruh Sarawak iaitu mewakili Kawasan Miri, Bintulu, Sibu, Kuching dan Kota Samarahan. Majlis telah dimulakan pada jam 11 pagi dan ucapan perasmian telah disampaikan oleh wakil Jawatankuasa Pusat (JKP) IKRAM Malaysia iaitu Prof Madya Hj Ainullotfi Abdul Latif. Dalam ucapan perasmian beliau, beliau telah menekankan akan tiga fokus utama IKRAM iaitu sebagai NGO dakwah, tarbiah dan kebajikan serta menggesa semua perwakilan agar terus giat bekerja untuk berkhidmat bagi menjayakan gagasan Malaysia Negara Rahmah.
Senarai ahli jawatankuasa IKRAM Negeri Sarawak (JKN) sesi 2020-2022 yang telah dilantik adalah seperti berikut:
Yang Di Pertua Negeri: Abg Mohd Shukri Abg Muis
Timbalan Yang Di Pertua Negeri: Dr Mohd Nuri Mustafa
Setiausaha Negeri: Dr Noor Hisyam Noor Mohamed
Penolong Setiausaha Negeri: Dr Zaitul Akmal Abdullah Zawawi
Ketua Wanita: Maimunah Ba'ee
Bendahari: Hamanah @ Amanah Osman
Ahli Jawatankuasa:
Hjh. Zaiton Yusof
Mohd Azrin Mohd Said
Ust Salleh Morshidi
Dr Sadiah Mohamad Ali
Hj Abdul Rahman Ahmat
Nasyitah Abdullah @ Ting Ngiik Kiew
Hj. Mohd Fauzi Mat Sari
Pengerusi Tetap: Satria Arjuna Julaihi
Timb. Pengerusi Tetap: Ustaz Ariffin Sebli
Pemeriksa Kira-Kira 1: Dewi Arabi
Pemeriksa Kira-Kira 2: Siti Nor Ain Musa
MPN 2020 IKRAM Sarawak telah melabuhkan tirai pada jam 3 petang selepas ucapan penutupan oleh Yang Dipertua Negeri baharu. Setinggi-tinggi tahniah dan takziah diucapkan kepada barisan JKN Sarawak yang baharu dan semoga dapat berkhidmat sebaik mungkin bagi melonjakkan agenda IKRAM di Sarawak.
IKRAM Sarawak
INFO - Sejarah | Hubungi Kami
ORGANISASI - IKRAM Sarawak | Wanita | Kuching | Kota Samarahan | Sibu | Bintulu | Miri
CAWANGAN - Kuching | Kota Samarahan | Sibu | Bintulu | Miri