wrapper

Berita Terkini

الخميس 4 رمضان 1442   |   Thursday 15 April 2021
Thursday, 11 February 2021 16:50

Allah tidak mahu berbicara dengan mereka

Written by Ustazah Maznah Daud
Rate this item
(1 Vote)

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Tiga golongan yang Allah tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat, tidak membersihkan mereka daripada dosa, tidak melihat kepada mereka dan bagi mereka azab yang amat pedih."

"Tiga golongan itu ialah orang tua yang berzina, raja yang banyak berdusta, orang miskin yang bongkak sombong.” (Hadis Riwayat Muslim)

 

Kenapakah tiga golongan itu amat dibenci dan dimurkai?

 

Allah tidak sudi memandang mereka dengan pandangan rahmah-Nya, tidak sudi berbicara dengan mereka dengan bicara yang lembut membelai hati mereka, tidak sudi 'mentazkiah' atau membersihkan mereka daripada dosa dan sifat-sifat tercela yang ada pada mereka. Yang tersedia untuk mereka hanyalah azab pedih yang tidak tertanggung sakitnya.

 

Pertama: Orang tua yang berzina

 

Zina adalah perbuatan keji yang sangat besar dosa dan implikasinya kepada umat manusia. Ianya haram dan dilarang tanpa mengira sama ada ke atas orang tua atau orang muda. 

 

Orang tua, biasanya lebih matang, lebih waras dalam memilih jalan yang baik atau sebaliknya. Biasanya lebih mampu mengawal diri daripada terjebak ke dalam kancah nafsu yang durjana. 

 

Mereka sepatutnya menjadi contoh dan teladan yang baik kepada generasi muda. Namun, apabila si tua tidak sedar diri, leka dan alpa dengan godaan syahwat yang tidak bertepi, selayaknyalah dia mendapat balasan yang begitu hina daripada Penciptanya.

 

Kedua: Raja yang banyak berdusta

 

Kebiasaannya yang suka berdusta adalah orang yang lemah. Dia berdusta di hadapan seseorang yang dianggap mempunyai kuasa ke atasnya dengan tujuan untuk menutup kelemahan atau kesilapannya supaya dia tidak dihukum atau tidak dimarahi.

 

Contohnya, anak berdusta pada ibu dan ayah, murid berdusta pada guru dan seterusnya. Raja yang di tangannya segala kuasa, seluruh rakyat jelata tunduk dan patuh kepada arahannya, maka apakah alasan untuk dia berdusta? Apa yang dia takutkan? Apa yang dia bimbangkan?

 

Tidak ada keperluan untuk dia berdusta kecuali kerana sifat dusta telah sebati mendarah daging dalam dirinya. Lantaran itu, dia amat dibenci oleh Allah dan disediakan untuknya siksaan yang amat keji dan hina. 

 

Ketiga: Orang miskin yang bongkak dan sombong

 

Orang miskin adalah golongan yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara diri dan keluarga. Mereka selalunya bergantung kepada pemberian dan belas ihsan pihak lain.

 

Maka dari manakah datang sifat bongkak dan sombong itu? Apa yang hendak disombongkan sedangkan dia sendiri bergantung kepada belas ihsan orang lain?

 

Mereka sepatutnya insaf dan merendah diri khususnya kepada mereka yang sudi membantunya. Sifat sombong yang ditunjukkan amatlah tidak wajar sama sekali. Justeru, balasan yang hina dan kejilah selayaknya buat mereka.

 

Kesimpulannya, semakin kecil dorongan untuk seseorang melakukan sesuatu kejahatan, semakin besar dosanya di sisi Allah Azzawajalla. Orang tua syahwatnya tidak seganas orang muda, sepatutnya lebih mampu mengawal diri dari berzina.

 

Orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi tidak ada sebab yang munasabah untuk dia berdusta kepada orang bawahannya. Orang miskin, apakah alasannya untuk sombong? Sepatutnya mereka insaf keadaan yang ada pada diri sendiri dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki dan mengatasinya.

Ustazah Maznah Daud

Read 170 times Last modified on Friday, 12 February 2021 16:04

1 Comment

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!