Print this page
Sunday, 07 March 2021 07:00

Al-Quran: Frasa yang tepat pada keadaan yang tepat

Rate this item
(0 votes)

Salah satu keistimewaan bahasa Arab adalah pada kata kerja fi'il (فعل) dan kata nama yang terhasil daripada kata kerja tersebut adalah isim fa'il (اسم فاعل).

Kata kerja dalam bahasa Arab terikat kepada masa iaitu pada masa yang lalu (ماضي), pada masa ianya sedang berlaku (مضارع) dan pada masa akan datang setelah diarahkan (أمر).

 

Manakala isim fa'il pula tidak terikat dengan masa dan menunjukkan yang perlakuan tersebut sentiasa dilakukan, malah telah menjadi gelaran atau panggilan terhadap si pelaku tersebut.

 

Perkataan melukis, menyanyi, mencuri dan membunuh umpamanya lebih merujuk kepada perlakuan. Namun perkataan pelukis, penyanyi, pencuri dan pembunuh merujuk kepada si pelaku.

 

Al-Quran adalah kitab suci yang merupakan pertuturan Allah SWT (كلام الله) dengan menggunakan bahasa Arab yang jelas. Oleh itu, penggunaan fi'il dan isim fa'il sudah tentu sangat banyak terdapat dalam al-Quran. Bahkan Allah SWT yang merupakan Tuhan serta Pencipta menuturkan kedua-dua frasa tersebut dengan sangat tepat dan teliti.

 

Contoh yang ingin diketengahkan melalui penulisan ini adalah pada ayat:

(وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِیُعَذِّبَهُمۡ وَأَنتَ فِیهِمۡۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمۡ وَهُمۡ یَسۡتَغۡفِرُونَ)

(Surah al-Anfal: 33)

 

Jika diteliti ayat tersebut, Allah SWT menggunakan kata kerja (fi'il) يعذبهم (mengazab) dan kata nama (isim fa'il) معذبهم (pengazab) bagi membezakan dua situasi. Terdapat dua keadaan yang Allah SWT menghindarkan azab-Nya terhadap manusia.

 

Keadaan yang pertama, ketika Rasulullah SAW masih hidup. Penggunaan kata kerja (فعل مضارع) merujuk bahawa penangguhan azab Allah SWT hanya terhad semasa Rasulullah SAW masih hidup.

 

Keadaan yang kedua pula, Allah SWT mengungkapkan dengan kata nama (اسم فاعل) yang menegaskan bahawa Dia sesekali bukanlah Pengazab (dulu, kini dan selamanya) sedangkan ada dalam kalangan manusia yang sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada-Nya.

 

Kesimpulannya, penggunaan kata kerja dan kata nama dalam ayat tersebut sangat tepat dengan situasi dan keadaan masing-masing. Semoga kita semua sentiasa memperbanyakkan istighfar serta memohon keampunan.

 

Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib
Ketua Hal Ehwal Syariah
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 222 times Last modified on Sunday, 07 March 2021 12:09
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd