wrapper

Berita Terkini

السبت 22 ذو الحجّة 1442   |   Sunday 01 August 2021
Tuesday, 13 April 2021 15:59

Bulan mendidik jiwa, meraih takwa

Rate this item
(4 votes)

Sesungguhnya berpuasa pada bulan Ramadan yang telah diwajibkan ke atas kita sudah mula membuka tirainya pada tahun ini. Apakah kita mampu mencapai tahap takwa sepertimana yang Allah perintahkan kepada kita?

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Menjadi orang bertakwa adalah kedudukan yang termulia para hamba-Nya di sisi Sang Pencipta. Takwalah yang akan membezakan kita dengan manusia yang lain kerana Allah lebih suka pada orang yang bertakwa.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujuraat: 13)

Perlu ada orang di dunia ini orang yang bertakwa kerana ketakwaanlah yang akan menjadikan kita mendapat rahmat dalam kehidupan dan sentiasa hidup dalam perdamaian dan terus bersatu merealisasikan ukhuwah antara orang-orang beriman.

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujaraat: 10)

Bagaimana takwa itu diraih dan diperolehi?

 

Berdasarkan daripada kaedah ulama salafussoleh, sesungguhnya ketakwaan itu adalah bekal persediaan bagi para hamba menghadapi Hari Kiamat dan juga Hari Kebangkitan. Maka takwa itu adalah:

 

1. Takut kepada Yang Maha Agung ( الخوف من الجليل )

2. Beramal dengan (syariat) yang diturunkan ( والعمل بالتنزيل )

3. Reda dengan yang sedikit ( والرضا بالقليل )

4. Persediaan untuk Hari Kemudian ( والاستعداد ليوم الرحيل )

 

Takut kepada Yang Maha Agung ( الخوف من الجليل )

 

Ketakwaan adalah merasa takut kita kepada Allah Yang Maha Agung. Begitulah seruan dakwah para Nabi terdahulu yang mengajak kaumnya dengan rasa sayang supaya bertakwa kepada Allah dan merasa takut akan perbuatan yang telah mereka lakukan.

 

Kerana suatu hari nanti, pasti mereka akan menghadap di hadapan Allah dan dipersoalkan segala amalan yang telah mereka lakukan dengan sombong. Merasa takutlah pada perbuatan yang akan membawa kita terhindar daripada rahmat Allah dan kembalilah bertaubat agar dapat meraih reda-Nya serta rahmat-Nya.

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman kepada mereka): Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.” (Al-A‘raaf: 171)

Setelah kita menelusuri bulan al-Quran ini, selepas banyak helaian al-Quran kita bertilawah, kita akan menyedari bahawa kebanyakan Nabi terdahulu menyeru kaumnya dengan seruan dakwah yang sama iaitu mengajak kaumnya bertakwa kepada Allah.

 

Setelah melihat banyak kerosakan serta kealpaan mereka terhadap perintah Allah, mereka diajak untuk merasa takut dengan azab yang bakal Allah timpakan ke atas mereka yang telah melakukan kerosakan dan maksiat terhadap Allah.

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Hud. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepada-Nya?” (Al-A’raaf: 65)

“Ketika saudara mereka Nabi Nuh, berkata kepada mereka: Hendaknya kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.” (Asy-Syu’ara: 106)

“Ketika saudara mereka Nabi Hud, berkata kepada mereka: Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.” (Asy-Syu’ara : 124)

“Ketika saudara mereka Nabi Soleh, berkata kepada mereka: Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.” (Asy-Syu’ara: 142)

“Ketika saudara mereka Nabi Lut, berkata kepada mereka: Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.” (Asy-Syu’ara: 161)

“Ketika Nabi Syuaib berkata kepada mereka: Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.” (Asy-Syu’ara: 177)

“Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah daripada Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia berkata kepada kaumnya: Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya. Patutkah kamu menyembah berhala Ba’la dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?” (As-Saffaat: 123-125)

 

2. Beramal dengan (syariat) yang Diturunkan ( والعمل بالتنزيل )

Takwa boleh diraih dengan amal kebajikan yang kita lakukan selari dengan apa yang telah diperintahkan ke atas kita oleh Allah iaitu seperti dalam syariat-Nya. Janganlah kita jadi seperti Bani Israel, apabila Gunung Tursina diangkat di atas kepala mereka hanya semata-mata mereka diminta untuk berpegang bersungguh-sungguh dengan kitab Taurat supaya mereka bertakwa.

Sedangkan kita, Allah telah turunkan syariat dalam al-Quran bagi menyuluh kehidupan kita hidup dengan keamanan dan berbahagia kerana apa yang diperintahkan Allah itu meliputi seluruh kehidupan manusia.

Selagi mana kita kekal beramal dengan ikhlas seperti apa yang telah Allah perintahkan dan tidak mensyirikkan-Nya, amalan dengan anggota tubuh ini akan membuatkan kita terkesan daripada sifat takwa hati.

“(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan-Nya dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan). Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (Al-Hajj: 31-32)

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.” (Al-Baqarah: 21)

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-An’aam: 153)

 

3. Reda dengan yang sedikit ( والرضا بالقليل )

Ternyatalah, amal ibadah yang kita lazimi dan kita laksanakan seperti apa yang dituntut oleh Allah itu adalah semata-mata untuk memastikan kita terus berada atas landasan yang tepat untuk berhadapan dengan Allah.

Kerana itu kita bersiap sedia dengan amalan hati, yang pastinya anggota kita berhadapan dengan realiti yang lebih mencabar untuk diharungi kerana keperluan kehidupan yang serba menyempit dan menyukarkan kita untuk terus fokus beribadah.

Banyak tokoh salafussoleh yang boleh kita contohi dalam merasa cukup dengan apa yang dimiliki kerana takut melanggari amanah yang digalasnya.

Antara kisah yang masyhur sewaktu Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA hendak wafat, beliau memerintahkan Saidatina Aisyah RA untuk menjual tanah miliknya dan duit jualan tanah itu dibayar ke baitulmal hanya semata-mata untuk menampung semula gaji yang diperolehinya semasa beliau menjadi khalifah.

 

Antara kisah yang masyhur juga iaitu kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang hanya menyalakan pelita di kediaman rasminya untuk urusan kerjanya sahaja. 

Bagi orang yang bertakwa, ibadah bukanlah sekadar amalan ritual sahaja, tetapi ia membentuk jati diri mereka sehingga dengan sendirinya melaksanakan amal kebajikan di mana sahaja mereka berada. Walaupun dengan harta yang sedikit, harta itu jugalah yang akan diinfakkan semata-mata untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Taala.

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah: 177)

Melaksanakan perintah Allah bukan kerana bulan Ramadan itu sahaja, tetapi ia dilaksanakan pada setiap masa, di mana-mana sahaja dia berada, pasti dia akan melaksanakan perintah Allah dengan apa yang dia ada, malah mendaulatkan syariat Allah yang penuh dengan kebaikan agar bumi ini disimbahi dengan kebaikan dan rahmat daripada agama yang diturunkan Allah ini.

Apakah tidak cukup apa yang ada pada kita sedangkan Allah telah menjanjikan banyak perkara yang indah sebagai balasan bagi orang bertakwa?

“Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan". Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertakwa. (Untuk mereka) Syurga-syurga "Adn", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa.” (An-Nahl: 30-31)

“(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertakwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasuk-pasukan.” (Maryam: 85)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.” (Al-Hijr: 45)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa.” (Ad-Dukhan: 51)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman Syurga dan nikmat kesenangan (yang tidak ada taranya).” (At-Thur: 17)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai, Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendak-Nya.” (Al-Qamar: 54-55)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di tempat teduh (yang dipenuhi pelbagai nikmat) dan yang berdekatan dengan mata air-mata air (yang mengalir), serta menikmati buah-buahan dari segala jenis yang mereka ingini. (Pada ketika itu dikatakan kepada mereka): Makanlah dan minumlah kamu dengan lazatnya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan.” (Al-Mursalat: 41-43)

Begitu banyak janji Allah yang telah termaktub dalam al-Quran sebagai khabar gembira buat orang-orang bertakwa.

 

4. Persediaan untuk Hari Kemudian ( والاستعداد ليوم الرحيل )

Dengan memupuk ketakwaan dalam diri kita ini, akan membuatkan kita bersiap sedia bagi menghadapi Hari Perhitungan nanti. 

Merasa takut kepada Allah setiap masa dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah, membersihkan diri daripada dosa dan maksiat, akan memelihara orang bertakwa untuk bersedia menghadapi Hari Akhirat seperti yang Allah janjikan. Mereka akan berbahagia dalam keadaan ingin bertemu dengan Allah nanti.

“(Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?” (Al-Muzammil: 17)

Bertanyalah (kepada mereka): Adakah (azab seksa Neraka) yang demikian itu lebih baik atau Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa? Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali.” (Al-Furqan: 15)

“Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertakwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah Neraka.” (Ar-Ra’d: 35)

“Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya) dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam Neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!” (Muhammad: 15)

Renungan buat diri kita dan sikap kita kepada orang lain untuk rasa bertakwa

Apakah janji-janji Allah yang telah termaktub dalam kitab-Nya ini tidak memberi kesan kepada kita untuk berusaha mendapatkan ketakwaan? Apalah yang ada di dunia ini jika hendak dibandingkan dengan apa yang telah Allah janjikan ini.

Kerana itulah sifat qanaah menjadi perhiasan bagi orang-orang bertakwa dengan merasakan bahawa kehidupan di akhirat adalah kampung halaman yang abadi.

Janganlah kita menunggu masa senja barulah ingin bertakwa kerana boleh jadi usia kita tidak panjang mana. Janganlah jadi seperti ahli maksiat yang menangguhkan taubat mereka kerana mereka yakin bahawa mereka masih lambat lagi untuk kembali bertemu dengan Maha Pencipta. Mereka akan memuaskan hati mereka dengan amalan yang sia-sia dan dosa sehinggalah hati mereka terus menjauh untuk bertaubat.

Maka, seharusnya kita mengajak mereka kembali kepada Allah dan sentiasa mengingatkan mereka seperti dakwah para Nabi terdahulu untuk merasa takut kepada Allah dan kembali ke pangkal jalan agar kita bersama-sama meraih takwa dan kemanisan beriman kepada Allah Taala.

Allah telah mengurniakan kita bulan Ramadan, bulan puasa, bulan al-Quran, bulan untuk membina ketakwaan dalam diri kita supaya kita bersedia menghadapi ‘hari kemudian’ selepas bulan Ramadan dengan rasa ketakwaan setiap masa.

Sehinggalah bertemu dengan bulan Ramadan yang seterusnya, kita perbaharui lagi nilai ketakwaan dalam diri kita, seterusnya kita meneruskan kehidupan kita dengan ketakwaan yang telah kita perbaharui itu, dan sehinggalah kita menemui Sang Pencipta dengan keadaan takwa yang kita telah bina dalam diri kita. Semoga kita dapat membina ketakwaan yang sebenar-benar takwa. 

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Ali-Imran: 102)

Dengan memiliki ketakwaan terhadap Rabbul Jalil, beban yang dipikul untuk membawa suruhan Allah menjadi lebih utuh dan lebih kuat sehinggakan gunung-ganang sendiri tidak sanggup memikul bebanan yakni mengajak manusia yang sukakan kepada kezaliman untuk kembali kepada Allah. Dengan bekal ketakwaan ini, ia akan menjadikan kita insan yang bahagia di kemudian hari.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat (benar dalam segala perkara). Supaya Dia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Al-Ahzab: 70-72)

Mohd Syarifuddin Abu Kassim
Ketua IKRAM Muda Kuala Lumpur

Read 208 times Last modified on Friday, 16 April 2021 10:31

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd